PELANCARAN Cawangan MR DIY ke-500 di pusat beli-belah One Utama. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Alias Abd Rani

PETALING JAYA: Peruncit perkakas rumah terbesar Malaysia, MR DIY Group (M) Sdn Bhd (MR DIY) bakal membuka 50 lagi cawangan menjadikan keseluruhan 550 cawangan di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Ia bersandarkan kepada sokongan serta minat pembeli yang semakin memberangsangkan, sekali gus merekodkan tujuh juta pelanggan setiap bulan.

Pengarah Urusannya, Adrian Ong berkata, untuk tahun ini pihaknya menyasarkan 100 cawangan dibuka seluruh negara termasuk yang terbaru di pusat beli-belah
1 Utama di sini, semalam.

“Sasaran itu realistik dengan sambutan diterima amat memberangsangkan. Konsep kami sebelum ini kepada bandar kecil di mana boleh menarik ramai pelanggan terutama golongan bawahan.

“Malah, selepas cawangan di 1 Utama, kami merancang untuk membuka 10 lagi cawangan setiap bulan, antaranya di Cheras, Ipoh, Damansara Utama dan Hartamas,” katanya selepas melancarkan Pembukaan Cawangan Ke-500 di pusat beli-belah 1 Utama, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MR DIY, Datuk Azlam Shah Alias.

Berpangkalan di Malaysia, syarikat itu memiliki lebih 550 cawangan di rantau Asia Pasifik iaitu Malaysia (415 cawangan), Thailand (100), Brunei (4) dan Indonesia (31).

Cawangan terbaru ini adalah berkonsep perdana terbesar syarikat setakat ini yang menawarkan pengalaman membeli-belah lebih selesa kepada pembeli ditambah pula ruang niaga yang luas iaitu 18,000 kaki persegi.

Ia memaparkan kekemasan moden dan lapang, sekali gus penting bagi pertumbuhan syarikat itu sebagai jenama perkakas rumah terulung di Malaysia.

Selari dengan pembukaan cawangan ke-500 ini, diskaun sehingga 50 peratus ditawarkan di semua cawangan seluruh negara.

Tawaran bermula semalam sehingga 20 Julai membabitkan beberapa produk berjenama.

Pada masa sama, rebat sebanyak RM5 juga diberikan kepada pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya RM30 menggunakan e-dompet Touch ‘n Go.

Sementara itu, menurut laporan media, MR DIY berada dalam landasan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada November depan dengan nilai antara RM10 bilion hingga RM11 bilion.

Bagaimanapun, Adrian enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan dan hanya mengulangi komitmen syarikat untuk muncul sebagai peruncit perkakas rumah terbesar di bukan saja di negara ini tetapi juga di Asia Pasifik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 7:12 AM