COLIN (kiri) bertukar dokumen dengan Pengarah Urusan Radiant Globaltech, Paul Yap Ban Foo, semalam. FOTO Nik Hariff Hassan
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven Malaysia), operator rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven menjalinkan kerjasama dengan Radiant Globaltech Bhd (Radiant Group) untuk melaksanakan portal pengurusan runcit dikenali AX Retail B2B bertujuan menyelaraskan proses perolehan dan mengurangkan kos dalam aspek penyerahan, invois dan pembayaran dalam kalangan pembekalnya.

Melalui kerjasama terbabit, semua pembekal perdagangan bagi 2,323 cawangan 7-Eleven seluruh negara boleh melaksanakan penggunaan portal berasaskan awan itu yang dibangunkan Radiant Group iaitu penyedia penyelesaian teknologi peruncitan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Colin Harvey berkata, kerjasama itu menunjukkan usaha berterusan syarikat dalam mengoptimumkan aliran kerja operasinya bagi meningkatkan proses perniagaan, sekali gus memberi kemudahan kepada vendor dan menyediakan keselesaan serta perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Pengenalan teknologi ini akan memberi impak kepada proses dalam organisasi kami di mana ia juga adalah selari dengan amalan penyelarasan digital yang kian berkembang terhadap model perniagaan tanpa kertas,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak, semalam.

Perjanjian itu menyaksikan 7-Eleven Malaysia akan menggunakan portal AX Retail B2B untuk tempoh tiga tahun dengan ia boleh diperbaharui secara tahunan apabila perjanjian itu tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 8:41 AM