DARI kiri, Pengurus Besar Daikin Rantau Asia, Fang Yuan, bersama Chan, Goh, Lawrence, Azizulhasni dan Ketua Pegawai Operasi, Daikin Malaysia Sdn Bhd, Ooi Cheng Suan pada majlis menandatangani perlantikan atlet sukan negara sebagai duta Daikin Malaysia, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


SUNGAI BULOH: Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd (DMSS), syarikat pemasaran penyaman udara jenama Daikin di Malaysia optimis mampu untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju penyaman udara pada tahun ini berdasarkan trend penggunaan lebih tinggi dalam kalangan pengguna dan pasaran semasa yang sedang berkembang.

Pengurus Besarnya, Lawrence Song berkata, keyakinan itu juga dinilai berdasarkan pretasi perniagaan syarikat yang mencatatkan prestasi baik dengan jualan menggalakkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berikutan inisiatif kerajaan baharu yang memulakan kembali banyak projek pembangunan dan infrastruktur di negara ini.

“Kami juga menjangkakan prospek tahunan yang cerah pada tahun ini daripada aspek prestasi tahunan keseluruhan dengan jualan lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya pada majlis mengumumkan tajaan bagi duta jenama Daikin Malaysia, semalam.

Pada masa ini, jenama Daikin menguasai 40 peratus pasaran penyaman udara tempatan, sekali gus menjadi peneraju bagi segmen penyaman udara di negara ini.

Sementara itu, Daikin Malaysia meneruskan tajaan kepada pasangan beregu badminton negara iaitu Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying dan atlet lumba basikal terkenal, Azizulhusni Awang.

Melalui tajaan itu, syarikat terbabit berhasrat mempromosi gaya hidup sihat selaras usaha syarikat dalam menggunakan teknologi hijau.

Lawrence berkata, Daikin Malaysia sentiasa menjadi syarikat yang mengutamakan gaya hidup yang lebih sihat.

“Kami percaya dengan menaja atlet, masyarakat akan mula menyedari kami bukan hanya jenama penyaman udara biasa, tetapi jenama yang menitikberatkan kepentingan dalam menjalani gaya hidup sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 7:15 AM