TINJAUAN Projek ECRL di sekitar Bentong Pahang. FOTO Zunnur Al Shafiq.
Nabil Basaruddin


PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion akan dilaksana dan dilancarkan semula pada 25 Julai ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelancaran semula itu turut memberi peluang kepada kontraktor tempatan untuk membida sebanyak 40 peratus daripada projek rel mega itu khususnya membabitkan kerja-kerja awam seperti pembinaan stesen dan depot.

Katanya, pelaksanaan projek ini juga dapat mewujudkan fungsi dan skop yang lebih besar bagi syarikat tempatan untuk memainkan peranan secara aktif dalam projek nasional itu.

“Kerajaan telah menetapkan untuk melancarkan semula projek rel ini pada 25 Julai ini dan mengesahkan 40 peratus daripada projek ECRL tersedia bagi penyertaan kontraktor tempatan.

“Saya juga menjemput peserta industri berkaitan untuk melaksanakan pembangunan berorientasikan pengangkutan transit (TOD) di sepanjang jajaran ECRL bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi sekitarnya,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kepimpinan ‘Women in Rail’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Rundingan semula projek ECRL antara Malaysia dan China menghasilkan situasi menang-menang di mana ia memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Ia termasuklah pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion atau 33 peratus daripada kos projek kepada RM44 bilion.

Malah, ia turut menyaksikan jajaran baharu dikurangkan kepada 648 kilometer berbanding rancangan awal 688 kilometer, melalui lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan serta Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 2:55 PM