SULAIMAN (tengah) ketika di ‘AmBank Biz Conference Beyond Financing Series - Growing you business through digital marketing and branding’ di Aloft KL Sentral.
Sri Ayu Kartika Amri


AMBANK Group (AmBank) berada di landasan tepat untuk meningkatkan sumbangan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada 30 hingga 40 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, setakat ini segmen PKS menyumbang kira-kira 20 ke 22 peratus terhadap perolehan kumpulan.

Katanya, AmBank juga yakin pertumbuhan itu dapat dicapai terutama disokong dengan sasaran kumpulan untuk menyalurkan kira-kira RM20 bilion pembiayaan kepada PKS dalam tempoh tiga tahun.

“Tahun lalu AmBank telah menyalurkan sebanyak RM6.2 bilion pembiayaan yang memberi manfaat kepada seramai 15,000 PKS baharu iaitu peningkatan 30.6 peratus berbanding RM4.7 bilion pada 2017.

“Kami akan terus menyokong serta membantu PKS melalui pembiayaan, khususnya PKS yang ingin mengembangkan perniagaan mereka menggunakan platform digital,” katanya pada sidang media sempena forum siri ketiga AmBank BizConference- Penjenamaan dan Pemasaran Digital di Kuala Lumpur, hari ini.

Forum Ambank BizConference siri ketiga- Penjenamaan dan Pemasaran Digital itu turut menjemput pakar industri platform digital bagi berkongsi pengalaman dan pemahaman berkaitan PKS.

Sulaiman berkata, pihaknya memahami keperluan PKS dan memperkenalkan produk yang bertepatan dengan kehendak dan permintaan pasaran.

Menurutnya, AmBank akan terus memberi tumpuan kepada segmen PKS bagi meningkatkan pertumbuhan perolehan kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 6:51 PM