ZURAIDA Kamaruddin.
Nabil Basaruddin


SYARIKAT Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) merekodkan jualan cemerlang sebanyak RM3 bilion sepanjang tempoh enam bulan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) berlangsung sejak awal tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, jumlah terbabit adalah merangkumi jualan kira-kira 4,000 unit daripada 13,000 unit rumah yang ditawarkan pada kempen HOC itu.

“Jumlah itu hanya dari PR1MA saja dan tidak termasuk dengan syarikat lain yang menyertai kempen ini.

“Malah, sepanjang kempen ini dijalankan, rumah yang dijual pada harga RM300,000 dan ke bawah mendapat sambutan menggalakkan.

“Bagi mereka yang gagal mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah pada HOC, kami akan mempertimbang untuk menawarkan skim pemilikan rumah secara sewa beli (RTO),” katanya pada sidang media sempena pelancaran Hi HOME di Kuala Lumpur, hari ini.

HOC 2019 yang sepatutnya berakhir bulan ini turut dilanjutkan sehingga Disember depan bagi membantu rakyat negara ini memiliki kediaman sendiri selain merancakkan kembali industri perumahan negara.

Kempen berkenaan juga mendapat sambutan yang menggalakkan dari pembeli-pembeli rumah dan syarikat pemaju perumahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 6:37 PM