LG Puricare Tankless.
Sofyan Rizal Ishak


LG Electronics Malaysia (LG) berhasrat untuk menjadi peneraju dalam pasaran penapis air di negara ini dalam tempoh tiga tahun akan datang bermula daripada pengenalan produk penapis air pertamanya di Malaysia, LG PuriCare Tankless.

Pengarah Urusannya, Kim Kyutae berkata, pihaknya optimis mampu untuk mencapai sasaran terbabit dipacu melalui inovasi dalam produknya dan pelaksanaan pelan perkhidmatan yang komprehensif termasuk pertukaran komponen pada setiap tahun untuk pasaran tempatan.

“Pelancaran produk ini adalah permulaan bagi kami dalam pasaran penapis air namun ia satu langkah yang baik dalam usaha kami menjadi jenama utama di Malaysia selepas ini,” katanya pada pelancaran penapis air LG PuriCare Tankless bersempena Konvensyen Rumah Pintar LG di Petaling Jaya, hari ini.

LG PuriCare Tankless adalah penapis air yang menggunakan teknologi tanpa tangki yang menapis air secara terus dari saluran bagi mengurangkan risiko pembiakan mikroorganisma di mana peralatan itu boleh dikawal dan dipantau dengan menggunakan aplikasi pintar SmartThinQ.

Beliau berkata, pasaran penapis air di Malaysia memiliki nilai tahunan kira-kira RM1.2 bilion dan pihaknya menjangkakan ia mampu menguasai 20 hingga 30 peratus daripada jumlah itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menurutnya, pihaknya bakal melaksanakan skim sewaan bagi produk penapis airnya kerana kaedah itu kini didapati semakin berkembang dalam pasaran penapis air.

“Secara am, pasaran penapis air secara sewa beli mencatatkan 1.5 juta langganan setahun dan ia dijangka bertambah antara 500 hingga 600 unit pada masa depan.

“Persaingan bagi pasaran penapis air tempatan diilihat amat kompetitif dengan penyertaan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa namun kami percaya kedudukan kami selaku jenama penapis air pertama di Korea akan memastikan kami menjadi jenama utama selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 7:38 PM