Lizam Ridzuan


SIME Darby Auto Performance, pengedar utama kenderaan Porsche di negara ini melancarkan model 911 generasi kelapan serba baharu melalui model 911 Carrera S dan 911 Carrera 4S.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christopher Hunter berkata, model baharu ini mengekalkan ciri ikonik Porsche dan dalam masa sama menyerlahkan elemen sebagai kereta sport pilihan sejak mula diperkenalkan pada 1963.

“Pasaran untuk model 911 di Malaysia adalah yang tertinggi di rantau Asia Pasifik kerana bukan saja berprestasi tinggi ketika di litar malah, boleh digunakan di jalan raya biasa dengan selesa,” katanya pada majlis pelancaran di Sepang, hari ini.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan untuk semua varian 911 baru ialah fungsi mod pemanduan jalan basah menggunakan pengesan ultrasonic yang menambah keyakinan pemandu amat sesuai sekali dengan keadaan cuaca di negara ini.

Ia dijana enjin belakang 3.0 liter pengecas turbo dengan kuasa kuda 450 PS pada 6,500 rpm dan dan tork 530 Nm pada 2,300 hingga 5,000 rpm serta kotak gear 8 kelajuan PDK dengan kelajuan maksimum 308 kilometer/sejam (km/j) (Carrera S) dan 306 km/j untuk varian pacuan semua roda 4S.

Antara ciri lain ialah rekaan luaran lebih lebar dan panjang, bampar hadapan dengan ruang kemasukan udara lebih besar, lampu hadapan LED Matrix, pemegang pintu pop-up automatik, rim aloi 20 inci hadapan dan 21 inci belakang, grill belakang dengan lampu brek ketiga, spolier belakang tiga posisi Eco dan ekzos berkembar.

Ciri ruang dalaman dengan papan pemuka berorentasikan rekaan horizontal, Pakej Sport Chrono roda stereng, konsol tengah baharu serta skrin sesentuh bersaiz 10.9 inci berdefinasi tinggi untuk sistem hiburan dan maklumat serta Pengurusan Komunikasi Porsche.

Untuk pasaran Malaysia, 911 Carrea S dijual pada harga RM1.15 juta dan 911 Carrera 4S (RM1.22 juta) dan boleh ditempah mulai hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:40 PM
CHRISTOPHER (kiri) bergambar bersama model kereta Porsche 911 Carrera 4S pada majlis Pelancaran Porsche 911 Carrera S/4S di Litar Antarabangsa Sepang.