WAN Latiff bersama Naib Presiden dan Pengarah Urusan, Sage Asia, Arlene Wherrett pada sidang media “Sage Power The Nation” di Menara Matrade.
WAN Latiff bersama Naib Presiden dan Pengarah Urusan, Sage Asia, Arlene Wherrett pada sidang media “Sage Power The Nation” di Menara Matrade.
Sofyan Rizal Ishak


PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) optimis bahawa sasaran jumlah eksport keseluruhan negara melebihi RM1 trilion seperti yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mampu dicapai berikutan jangkaan pemangkin dan prospek ekonomi yang positif tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan eksport keseluruhan 0.3 peratus kepada RM405.36 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, pencapaian eksport terbaharu itu juga menyumbang peningkatan 0.1 peratus bagi jumlah keseluruhan perdagangan kepada RM753.88 bilion bagi lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kami berada dalam landasan tepat dengan berjaya mencapai peningkatan 0.3 peratus dalam tempoh hampir enam bulan dan kami hanya memerlukan 0.2 peratus saja bagi tahun ini bagi mencecah jumlah RM1 trilion itu,” katanya pada media selepas majlis media Sage dan Matrade di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada tahun lalu, jumlah perdagangan keseluruhan Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus kepada RM1.87 trilion dengan ekport berkembang sebanyak 6.8 peratus untuk mencapai nilai RM998.01 bilion manakala, import meningkat 4.9 peratus kepada RM877.74 bilion.

Beliau berkata, keyakinan terbabit dinilai berdasarkan trend semasa dalam eksport dan peningkatan aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang akan menjadikan prestasi eksport negara lebih baik pada separuh kedua tahun ini.

“Secara umumnya, eksport sentiasa menjadi lebih baik pada separuh kedua setiap tahun berbanding separuh pertama dengan September dan Oktober menjadi bulan baik kepada Malaysia.

“Kami harap situasi ini serta rundingan perdagangan semasa antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang baik akan menjadi penyumbang kepada prestasi eskport negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 6:39 PM