Mohamad Fahd Rahmat


HADIR dengan gaya lebih elegan dan memukau, Mazda 3 yang menampilkan tiga varian mula dijual di pasaran negara ini dengan harga atas jalan tanpa insuran serendah RM139,620 seunit.

Model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu, dibawa masuk bagi bersaing dalam dunia automotif tempatan terutama dalam segmen C tanpa meletakkan sasaran jualan khusus.

Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto, Berhad Datuk Seri Ben Yeoh berkata, Mazda 3 yang dilengkapi teknologi dan reka bentuk terkini itu menjanjikan kepuasan pemanduan maksima kepada pemiliknya.

“Sejak 2012 kami memperkenalkan sembilan model yang menampilkan teknologi SKYACTIV dan rekabentuk KODO ke pasaran global.

“Ini menyumbang kepada pertumbuhan jualan yang meyakinkan dengan kira-kira 50,000 unit terjual setiap tahun.

“Mazda 3 adalah pencapaian terbaik kami dengan jualan lebih enam juta unit di 130 negara dan wilayah sejak 15 tahun lalu apabila generasi model pertama diperkenalkan pada 2003.

“Malah, model Mazda kini dijual sebanyak 16,000 unit di Malaysia secara tahunan dan dengan pengenalan Mazda 3 serba baharu ini akan merancakkan lagi jualan model terbabit,” katanya selepas majlis pelancaran Mazda 3, di Kuala Lumpur, hari ini.

Tiga varian ditawarkan iaitu MAZDA3 1.5L pada harga RM139,620 untuk liftback dan RM139,620 untuk sedan; MAZDA 2.0 L (High) pada harga RM150,059 untuk sedan manakala MAZDA3 2.0L (High Plus) pada harga RM160,059 (liftback) dan RM160,059 (sedan).


BEN Yeoh (tiga dari kiri) bergambar selepas majlis pelancaran kereta Mazda 3, Sedan dan Liftback di 1 Utama.

KERETA Mazda 3 Sedan dan Liftback dipamerkan pada majlis pelancaran di 1 Utama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 8:10 PM