DR Mahathir berpeluang mengadakan sesi soal jawab dengan robot sosial Sophia yang antara lain menyentuh masa depan teknologi AI dan sumbangannya untuk Malaysia pada Sidang Kemuncak Melangkaui Paradigma: Mendorong Revolusi Industeri 4.0 di Mitec, semalam.
DR Mahathir berpeluang mengadakan sesi soal jawab dengan robot sosial Sophia yang antara lain menyentuh masa depan teknologi AI dan sumbangannya untuk Malaysia pada Sidang Kemuncak Melangkaui Paradigma: Mendorong Revolusi Industeri 4.0 di Mitec, semalam.
Mohd Anwar Patho Rohman dan Hazwan Faisal Mohamad


PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan tempatan digesa untuk mengorak langkah mendahului pelaksanaan transformasi digital bagi memastikan mereka kekal menarik kepada pelabur dan kompetitif di peringkat global, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan perkara yang disebutkan dalam inisiatif Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0 atau Industry4WRD, nilai rantaian global dan pengeluaran secara geografi sedang beralih arah ke Asean.

“Peralihan paradigma dalam kalangan PKS terutama membabitkan inovasi dan penyelesaian kreatif adalah kunci penting memacu industri pengeluaran ke hadapan berikutan ia mewakili 98.5 peratus syarikat pengeluaran dan 42 peratus pekerjaan di Malaysia.

“Untuk menubuhkan ekosistem industri 4.0, kedua-dua pemimpin industri dan penyedia tenaga kerja perlu memahami sepenuhnya dan mendepani gangguan teknologi.

“Buat masa ini, mengguna pakai adalah perlu, tetapi akan datang menguasai teknologi adalah perkara asas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Sidang Kemuncak Melangkaui Paradigma: Mendorong Revolusi Industeri 4.0 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Holdings Bhd Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah.

Sidang kemuncak yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Serba Dinamik bersama-sama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan disokong oleh MDEC, Microsoft dan TM One.

Acara selama dua hari bermula semalam mempamerkan pelbagai teknologi canggih yang merangkumi idea teras digitalisasi dan pertukaran data yang merentasi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Selain di Mitec, sidang kemuncak itu akan turut diadakan di Kuching, Sarawak pada 20 Julai ini dengan perasmian oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Dr Mahathir berkata, pihaknya menjangkakan kemajuan teknologi yang tidak pernah berlaku sebelum ini menerusi IR 4.0 dan impaknya kepada tenaga kerja tempatan dan global adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan.

Katanya, menurut laporan Forum Ekonomi Dunia, kepakaran dan pekerjaan yang menerima permintaan paling tinggi di peringkat global dalam semua industri ketika ini tidak wujud 10 tahun lalu.

“Tambahan itu, diunjurkan 65 peratus kanak-kanak sedang bersekolah rendah hari ini akan bekerja dengan pekerjaan yang masih tidak wujud lagi hari ini.

“Selain itu, 70 peratus daripada tenaga kerja semasa negara hanya mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), melatih semula rakyat Malaysia untuk semua peringkat umur adalah penting untuk memastikan kejayaan dalam ekonomi untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 11:11 AM
Digital NSTP Subscribe