PROJEK rumah teres dua tingkat Kyra dibuka untuk jualan sehingga 29 September 2019.
Nabil Basaruddin

SIME Darby Property (SDP) menyaksikan jualan lebih 80 peratus projek rumah teres dua tingkat yang dilancarkannya, Kyra dalam kempen terbaharu oleh syarikat hartanah itu, Spotlight 8.

Kyra adalah projek perumahan yang dibangunkan di perbandaran Bandar Bukit Raja yang terletak di Klang, Selangor dan ditawarkan pada harga RM563,888 seunit.

Projek itu juga adalah produk hartanah pertama yang dijual kepada orang ramai di bawah kempen Spotlight 8 yang dijalankan pada 13 Julai hingga 29 September depan.

Pengurus Besar SDP, Mohd Idris Abdullah berkata, berikutan kejayaan projek Elsa, produk hartanah mampu milik yang diperkenalkan syarikat itu pada April, maklum balas terhadap Kyra turut memberangsangkan.

Katanya, maklum balas untuk produk rumah mampu milik daripada pembeli menunjukkan SDP berada pada landasan tepat dalam menyediakan rumah mampu milik dalam persekitaran yang selesa dan selamat.

“Malah, projek kami juga dilengkapi kemudahan serta fasiliti yang menyokong pembangunan komuniti dan gaya hidup sihat.

“Semua ini akan memberikan penghuni rumah ini serta generasi masa depan menikmati kehidupan di Bandar Bukit Raja ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Perbandaran itu mempunyai ketersambungan bersepadu dengan beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Shapadu dan akan datang, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

Dalam pada itu, Spotlight 8 turut menawarkan peluang kepada pembeli untuk memiliki pelbagai jenis produk hartanah SDP menerusi Weekend Superdeals dan projek baharu merentasi projek perbandaran syarikat itu di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor.

Lebih menarik lagi, kempen itu juga bakal melancarkan empat projek pegangan tetap, tiga projek perumahan bertanah dan satu pembangunan strata di lokasi strategik di sekitar Lembah Klang.

Pelancaran projek perumahan Kyra ini juga adalah selari dengan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 2:03 PM