KERJASAMA tiga pihak buka jalan Bank Islam jadi perbankan digital menjelang 2021.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menjalin kerjasama strategik bersama BerryPay (M) Sdn Bhd (BerryPay) dan KiplePay Sdn Bhd (KiplePay) dalam usaha menjadi bank Islam digital menjelang 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, usaha sama itu bagi menawarkan kemudahan transaksi kewangan melalui kiriman wang mudah alih dan platform dompet elektronik (e-dompet).

“Ia bukti transformasi kami menjadi bank Islam digital pilihan menjelang akhir tahun 2021.

“Tujuan kami mewujudkan kerjasama dengan dua syarikat teknologi kewangan itu bagi meningkatkan pengalaman pelanggan Bank Islam.

“Malah, ia juga bagi membantu bank ini mencapai masyarakat tanpa tunai serta agenda keterangkuman kewangan,” katanya di sini, semalam.

Majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu disaksikan Mohd Muazzam dan Pengerusi BerryPay, Datuk Dr Mohd Daud Bakar serta Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay, Tan Kay Yen.

Menerusi pemeteraian MoU itu, BerryPay akan menyediakan perkhidmatan pengiriman wang mudah alih bagi kemudahan pemegang akaun pekerja asing.

Ia akan menghubungkan mereka melalui akaun bank maya dalam sistem perbankan elektronik yang unik kepada penerima lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:37 AM