KAMARUL Ariffin (tengah) pada pelancaran kad kredit Visa Signature Affin dan AffinPay, semalam. FOTO Supian Ahmad
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Affin Bank Berhad (AffinBank) berada di landasan tepat untuk memperkembang segmen kad kreditnya menerusi pelancaran kad kredit Visa Signature Affin yang memberi pulangan tunai sebanyak tiga peratus bagi setiap transaksi runcit.

Pulangan tunai sebanyak tiga peratus itu adalah bagi setiap transaksi runcit tanpa sentuh (kecuali transaksi berkaitan kerajaan dan juga pemberian amal) dengan kadar maksimum pulangan tunai sebanyak RM80 sebulan, ataupun RM960 setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, sempena pelancaran itu pihaknya menyasarkan 30,000 pemegang kad kredit baharu dalam tempoh setahun.

Katanya, kad kredit Visa Signature Affin terbaharu ini menawarkan pelbagai manfaat dan faedah kepada pengguna serta unik berbanding dengan produk kad kredit lain di pasaran.

“Setakat ini, Affin mempunyai sekitar 800,000 pemegang kad kredit dan debit. Kami percaya melalui pelancaran kad kredit Visa Signature Affin ini akan meningkatkan jumlah sedia ada pelanggan kami.

“Selain memperkenalkan kad kredit baharu, kami turut melancarkan AffinPay iaitu aplikasi mudah alih untuk menggalakkan urus niaga tanpa tunai,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kad kredit Visa Signature Affin dan AffinPay di sini, semalam.

Menurutnya, pelancaran AffinPay juga sejajar dengan agenda transformasi digital bank yang kini giat dilaksanakan untuk menyediakan pengalaman perbankan yang lebih baik untuk pelanggan setia Affin Bank.

Kamarul berkata, sejajar dengan inisiatif digital tiga tahun kumpulan, pihaknya komited memberi kemudahan kepada pelanggan AffinBank dan Affin Islamic dalam memilih pembayaran tanpa sentuh sekali gus menikmati pulangan tunai dengan pembayaran tanpa sentuh.

AffinPay boleh dimuat turun untuk peranti Android dari Google Play Store, di mana pelanggan boleh mendaftarkan kad kredit atau debit Visa mereka pada aplikasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:45 AM