PROJEK mega negara ECRL kini mempunyai 1,036 pekerja. FOTO Zunnur Al Shafiq
Alzahrin Alias


KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diteruskan semula membuka peluang pekerjaan tenaga kerja mahir tempatan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

China Communications Construction Sdn Bhd (CCCC) menjangkakan jumlah tenaga kerja mahir tempatan meningkat kepada 70 atau 80 peratus berbanding 50 peratus ketika ini.

Syarikat itu berkata, pihaknya sedang giat menjalankan pengambilan tenaga kerja mahir bagi projek mega negara itu.

Katanya, sehingga 19 Julai lalu, CCCC menerima 13,202 permohonan dengan 291 jawatan sudah diisi menjadikan jumlah pekerjanya kini sebanyak 1,036.

Ia berkata, jumlah berkenaan masih kecil berbanding 2,250 tenaga kerja mahir yang direkodkan sebelum penangguhan projek ECRL tahun lalu.

“CCCC komited terus membuka peluang pekerjaan dan menjangkakan tenaga kerja mahir tempatan akan menguasai sekitar 70 peratus keseluruhan tenaga kerja.

“Ketika ini, CCCC mempunyai 50 peratus tenaga kerja mahir tempatan dengan 60 peratus daripadanya adalah pekerja Melayu.

“Masih ada kekosongan sebanyak 300 jawatan dan jumlah ini akan terus dipertingkatkan seiring kemajuan dan keperluan projek kerja ECRL,” katanya.

Jurutera Jabatan QAQC CCCC, Mohd Asri Alias yang berhenti ketika projek ECRL ditangguhkan tahun lalu berkata, syarikat terbabit sentiasa membuka peluang kepada tenaga kerja mahir tempatan, termasuk dirinya yang ditawarkan semula pekerjaan.

Perkara itu turut dikongsi Mohd Salahuddin Yaakob, antara tenaga kerja CCCC yang dipanggil semula menyertai syarikat itu.

Pengurus Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran CCCC itu berkata, pembabitan tenaga kerja mahir tempatan penting dalam memastikan projek mega negara itu berjalan lancar, selain dapat berkongsi pengalaman dan kemahiran.

Bagi Pengurus Pelaburan CCCC, Izahar Hamidon, walaupun pernah memegang jawatan penting dalam agensi kerajaan sebelum menyertai CCCC, beliau menyatakan langkahnya menyertai pasukan baharu bagi projek ECRL itu adalah satu perkara yang mencabar.

Beliau yang terbabit dalam pelaburan perlu memulakan semula agenda dan perancangan sepanjang laluan ECRL dari awal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:48 AM