KAD kredit dan pinjaman peribadi kekal menjadi penyumbang utama mengumpul hutang terlalu tinggi rakyat Malaysia.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Kehendak gaya hidup yang berlebihan menjadikan kad kredit dan pinjaman peribadi kekal menjadi penyumbang utama mengumpul hutang terlalu tinggi serta berlebihan.

Malah, berdasarkan Kaji selidik AKPK pada 2018, agensi itu mendapati tiga daripada 10 rakyat Malaysia yang bekerja terpaksa meminjam untuk membeli barang keperluan asas.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir berkata, pengumpulan hutang berlebihan yang berkaitan gaya hidup, sekiranya penggunaannya tidak terkawal dan berhemat, ia bakal mengundang masalah.

Beliau berkata, antara perkara yang akan menjadi permasalahan kepada peminjamnnya adalah pembayaran balik hutang terbabit.

“Berdasarkan apa yang kami terima, kad kredit dan pinjaman peribadi masih menjadi saluran popular hampir kebanyakan rakyat negara ini mengumpulkan jumlah hutang yang banyak.

“Malah, berdasarkan portfolio AKPK, lebih 50 peratus membabitkan hutang kad kredit, sementara pinjaman peribadi pula membabitkan kira-kira 30 peratus,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam hal ini, kesalahan sebenar bukanlah semata-mata terhadap produk berkenaan kerana sudah diketahui kad kredit serta pinjaman peribadi mempunyai kebaikannya sendiri.

“Namun, apa yang penting, semua produk kewangan seumpama itu seharusnya digunakan dengan baik oleh individu serta memastikan mereka mampu untuk membayar balik hutang berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, penting bagi setiap individu untuk mempunyai ilmu serta pengetahuan dalam selok-belok menguruskan kewangan supaya ia dapat membantu kehidupan lebih baik.

Katanya, usaha mendalami ilmu pengurusan kewangan bukan membabitkan isu kad kredit saja, sebaliknya bagaimana ia digunakan oleh setiap individu dalam menjadikan perbelanjaan serta kewangan lebih berhemat.

Katanya, pihaknya mendapati sekiranya individu mempunyai tunggakan hutang kad kredit berjumlah RM10,000 dan membuat pembayaran balik pada kadar minimum, ia mengambil masa sehingga tujuh tahun setengah untuk diselesaikan.

“Sekiranya orang ramai tahu akan hal ini, sudah pasti setiap individu tidak akan memilih membuat pembayaran pada kadar minimum.

“Oleh itu, perkara ini turut membuktikan bahawa kepentingan dalam menguruskan kewangan peribadi dengan lebih baik bagi menjamin masa depan tanpa bebanan hutang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 7:04 AM