MUHAMMAD Fikri menunjukkan antara produk takaful.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Kesedaran yang rendah terhadap kepentingan takaful di negara ini terbukti apabila kira-kira 85 peratus penduduk masih lagi tidak mempunyai perlindungan takaful atau insurans yang secukupnya ketika berlaku kecemasan.

Bagi menjamin kesejahteraan ketika berlaku sesuatu musibah, orang ramai sewajarnya memperuntukkan kira-kira 10 peratus daripada pendapatan boleh guna mereka setiap bulan untuk produk perlindungan seperti takaful.

Ia adalah bagi mengurangkan beban kewangan sekiranya berdepan musibah seperti kemalangan, banjir, kebakaran, penyakit kritikal dan kematian.

Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata, keperluan untuk memiliki perlindungan sedemikian adalah bagi menjamin individu serta keluarga sekiranya ditimpa sebarang musibah atau hilang punca pendapatan utama.

“Apabila seseorang itu tiada perlindungan khas seperti takaful, perkara ini akan menyebabkan wang simpanan terpaksa dihabiskan selain memberi kesulitan untuk bertahan pada masa depan.

“Jadi, dengan adanya perlindungan mencukupi, ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban seterusnya dapat mengekalkan gaya hidup seperti biasa,” katanya dalam satu temu bual bersama Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Ketika ini jumlah perlindungan takaful untuk setiap individu dianggarkan sebanyak RM200,000 manakala, nilai keseluruhan jurang perlindungan untuk 12.5 juta pekerja di Malaysia adalah sebanyak RM2.5 trilion pada 2012.

Muhammad Fikri berkata, berdasarkan situasi semasa itu, lebih banyak usaha perlu dilaksanakan oleh MTA dan peserta industri dalam merapatkan jurang yang wujud itu.

Katanya, pihaknya berharap dapat mencapai sekitar 25 peratus penembusan untuk perlindungan takaful menjelang 2020 berbanding 15.2 peratus ketika ini.

“Ia adalah tanggungjawab kami untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan serta manfaat perlindungan takaful itu pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu, katanya, MTA turut melaksanakan usaha strategiknya dalam meningkatkan kadar penembusan takaful di Malaysia menerusi kempen Race For Cover Towards Takaful 2020 (Race for Cover).

Menurutnya, kempen itu membabitkan 11 peserta takaful yang bersaing dalam menawarkan produk unik masing-masing di samping mahu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan takaful.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 7:07 AM