FUZIAH (dua dari kiri) bersama Datuk Ir Amiruddin Hamzah (dua dari kanan) menandatangani dokumen perjanjian antara Pengerusi Yayasan Khadijah International WAQF, Rohani (kiri) dengan Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi (kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum antara Kasih, Yayasan Khadijah International WAQF (KIWF), Majlis Permuakatan Wakaf Antrabangsa (iWAQF) dan Hospital Pusrawi (PUSWARI), di Bangi. FOTO Rosela Ismail.

Nabil Basaruddin

KERAJAAN merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan kesihatan mampu milik dengan menubuhkan hospital wakaf bagi memenuhi keperluan semasa khususnya untuk golongan yang memerlukan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, hospital wakaf itu akan beroperasi seperti hospital tiga bintang dan ia akan dilengkapi dengan servis rawatan pakar yang dikenakan pada harga mampu milik.

“Usaha bagi penubuhan hospital wakaf ini juga dilihat sebagai penambahbaikan untuk sektor kesihatan negara yang memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya pesakit.

“Hospital wakaf ini akan menjadi elemen tambahan kepada wakaf, zakat, infak dan pembiayaan di mana model perniagaan ini berbeza berbanding hospital pakar yang lain.

“Untuk perancangan ini, kerajaan berharap untuk melaksanakan hospital wakaf dalam tempoh masa terdekat kerana ia memberi penyelesaian kepada banyak pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Kasih Holdings Sdn Bhd bersama Yayasan Wakaf Antarabangsa Khadijah, Hospital Pusrawi Sdn Bhd dan Majlis Permuafakatan Wakaf Antarabangsa, di Bangi, hari ini.

Fuziah juga berharap Kementerian Kewangan dapat menggalakkan institusi perbankan Islam di negara ini untuk memperuntukkan sebahagian kecil daripada keuntungan yang dicapai oleh bank bagi menyokong projek berasaskan wakaf.

Menurutnya, berdasarkan rekod, keuntungan bank-bank Islam di Malaysia adalah sekitar RM6 bilion pada 2017.

“Dengan hanya peruntukan sebanyak lima peratus daripada untung institusi ini pada 2017, ia mampu memberikan sejumlah RM300 juta.

“Jumlah ini sebenarnya adalah mencukupi untuk membiayai dana untuk 200 katil hospital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 6:51 PM