FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hazwan Faisal Mohamad


KUMPULAN AirAsia menggesa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengutamakan isu lebih penting dalam operasi dan pengalaman penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad (AirAsia Malaysia), Riad Asmat berkata, keutamaan itu adalah perkara yang perlu diberi perhatian berbanding cadangan mengintegrasikan hab pengendali tambang rendah klia2 dengan KLIA.

Katanya, pelan terbabit yang diluluskan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) terus menjadi topik perbualan meskipun dua organisasi itu gagal mencipta model pelaksanaan bagi penyambungan syarikat penerbangan.

Menurutnya, MAHB belum berunding dengan AirAsia atau AirAsia X, dua syarikat penerbangan terbesar yang menyumbang kepada 97 peratus keseluruhan aliran penumpang di klia2.

“Rancangan utama bagi mengintegrasikan KLIA dan klia2 dari segi prasarana dan perbelanjaan modal intensif perlu ditunda, sebaliknya isu lebih kritikal perlu diutamakan MAHB.

“MAHB sepatutnya memberi perhatian bagaimana untuk menggunakan peningkatan cukai lapangan terbang dikutip daripada penumpang bagi menaik taraf kemudahan di klia2.

“Antaranya menyediakan kemudahan mewah seperti di KLIA, membaiki apron dan landasan laluan kapal terbang, menawarkan lebih banyak ruang untuk penumpang dan mereka semula pintu pelepasan.

“MAHB juga masih perlahan dalam menggunakan teknologi untuk menambah baik pengalaman perjalanan penumpang secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Riad berkata, tambahan cukai lapangan terbang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah kesesakan di lapangan terbang lain di Malaysia seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Ruang daftar masuk terhad dan dengan situasi di lapangan terbang itu, ia tidak dapat mengendalikan penumpang yang semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, visi syarikat untuk menerajui hab tambang rendah di Asia.

“Pelancong jarak jauh dari Australia, China, India, Korea Selatan dan Jepun boleh berhenti atau melakukan penerbangan transit dengan mudah dan pantas melalui rangkaian penerbangan jarak dekat terbesar di Asean.

“Kami percaya cadangan integrasi antara syarikat penerbangan perkhidmatan penuh di KLIA dan syarikat penerbangan tambang rendah di klia2 tidak mendatangkan sebarang manfaat,” katanya.

ends

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 9:30 AM
Digital NSTP Subscribe