GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Seramai 486,360 pembayar cukai dari semua kategori tampil mengisytihar pendapatan secara sukarela kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) setakat 23 Jun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, surat pelepasan juga akan dikeluarkan kepada pembayar cukai berkenaan.

Beliau berkata, di bawah program itu, pembayar cukai berpeluang menikmati penalti yang rendah pada kadar serendah 10 peratus untuk jumlah yang tidak diisytiharkan kepada LHDN sehingga 30 Jun lalu berbanding penalti 300 peratus.

“Saya menggesa semua pembayar cukai untuk memanfaatkan sepenuhnya inisiatif kali ini yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Malah, melalui program ini, pengisytiharan yang dibuat akan diterima dengan suci hati oleh pihak tanpa sebarang siasatan lanjut,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan 2019 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah dan Presiden Institut Percukaian Bertauliah Malaysia (CTIM), Farah Rosley.

Bermula sekarang sehingga 30 September depan, pembayar cukai masih berpeluang untuk menikmati kadar penalti yang rendah sebanyak 15 peratus.

Selain itu, mulai 1 Oktober depan, penalti minimum sebanyak 45 peratus pula akan dikenakan ke atas apa-apa pendapatan yang tidak diisytiharkan atau tidak diisytiharkan untuk tujuan cukai.

Lim berkata, program seumpama itu antara lain membolehkan pembayar cukai dengan pendapatan di Malaysia yang mempunyai akaun bank asing untuk mengisytiharkan pendapatan mereka yang tidak dilaporkan tanpa dikenakan penalti yang berat.

“Program PKPS juga membolehkan orang lain yang tidak melaporkan pendapatan mereka dan tanpa sebarang akaun bank asing untuk menyertai program ini, dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 11:02 AM