X
SETIAP penumpang klia2 yang berlepas ke destinasi di luar Asean dikehendaki membayar caj PSC RM73.
SETIAP penumpang klia2 yang berlepas ke destinasi di luar Asean dikehendaki membayar caj PSC RM73.

AIRASIA mula mengutip Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang dikenakan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bermula tengah malam semalam, sebagai bantahan berikutan keputusan mahkamah baru-baru ini.

Ini bermakna syarikat penerbangan tambang rendah itu mengutip kadar tambahan RM23 bagi PSC dan perbezaan jumlah itu akan dipaparkan secara jelas dalam jumlah tambang sebagai ‘PSC (Dalam Bantahan).’

PSC atau dikenali juga sebagai cukai lapangan terbang adalah caj yang dikenakan MAHB kepada penumpang yang berlepas menggunakan kemudahan lapangan terbang.

Ia dikutip syarikat penerbangan seperti AirAsia bagi pihak pengendali lapangan terbang.

MAHB mengenakan kadar PSC baharu sebanyak RM73 kepada penumpang yang mengunakan klia2 ke destinasi di luar Asean sejak Julai 2018 iaitu kadar sama dikenakan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kadar ini lebih tinggi daripada kadar yang terdahulu iaitu RM50 dan AirAsia enggan mengutip jumlah tambahan RM23 daripada penumpang untuk memastikan perjalanan udara kekal berpatutan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini menolak permohonan AirAsia Berhad dan AirAsia X Berhad untuk membatalkan tuntutan berkaitan tunggakan bayaran PSC kepada anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dalam kenyataan berkata, pihaknya mengutip jumlah PSC penuh berjumlah RM73 namun ia dilakukan sebagai bentuk bantahan.

“Kami akan memaparkan tambahan PSC sebanyak RM23 ini sebagai satu item khusus di dalam resit pembayaran agar 5.5 juta penumpang kami yang berlepas dari klia2 untuk ke destinasi luar daripada Asean setiap tahun dapat menilai sama ada
jumlah yang mereka bayar itu setimpal dengan kemudahan di klia2 yang berkualiti rendah.

“Saya percaya ramai akan bersetuju ia tidak berbaloi untuk membayar caj yang sama bagi terminal berkenaan berbanding KLIA yang lebih mewah dan selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 10:02 AM