PKNS membangunkan 38,876 usahawan sejak 1995 melalui 13 program yang ditawarkan.
Sofyan Rizal Ishak


PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) berhasrat untuk meluaskan PKNS BizPoint sebagai jenama pembangunan usahawan yang mampan dan dinamik pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata pihaknya komited dalam membangunkan usahawan tempatan melalui kewujudan program pendidikan dan pembudayaan keusahawanan serta program pemantapan, pembangunan dan jaringan.

“Sehingga kini, kami berjaya membantu membangunkan seramai 38,876 usahawan sejak 1995 melalui 13 program yang ditawarkan berbanding hanya dua program pada 1995,” katanya.

Beliau berkata, BPU PKNS juga komited untuk terus memantapkan pembangunan vendor dan Sub Kontraktor Bumiputera (SKB) PKNS yang berdaya saing, berkualiti dan berdikari.

“Untuk 2019, kami sudah melahirkan kira-kira 11 syarikat bagi program Vendor Inkubator Payung (VIP) PKNS dan 41 syarikat melalui program Sub Kontraktor Bumiputera (SKB) PKNS melalui Program Pemantapan kami,” katanya.

VIP adalah program bagi usahawan bumiputera yang mempunyai fasiliti pengeluaran (kilang) bahan-bahan binaan yang berkualiti dan menepati spesifikasi dan piawaian yang telah ditetapkan oleh PKNS.

Sub-Kontraktor Bumiputera (SKB) pula adalah program untuk usahawan Bumiputera yang memiliki syarikat kontraktor dengan gred CIDB G1 hingga G5 yang melaksanakan kerja-kerja kontrak di projek-projek pembinaan iaitu dalam bidang kerja awam, elektrik atau landskap.

Mengulas mengenai program ditawarkan BPU PKNS pada tahun ini, Azizi berkata terdapat sebanyak empat kategori program iaitu pembudayaan, pemantapan, pembangunan dan jaringan.

Untuk program pembudayaan, PKNS berjaya menarik seramai 100 pelajar sekolah rendah bagi Program Perintis Usahawan (PPU), 1,250 pelajar sekolah menengah melalui Program Tunas Niaga (PROTUNe) dan 30 peserta melalui Program Usahawan Siswazah PKNS (GROW).

Untuk program pembangunan, PKNS menawarkan program Penyewaan di Premis Perniagaan yang kini diisi oleh lima syarikat dan program Pemantapan 5 Usahawan (5U) yang disertai tiga syarikat.

“Kami juga menawarkan program jaringan yang membabitkan penyewaan ruang pejabat serba lengkap (VIO PKNS) kepada 29 penyewa dan program Ahli PKNS Biz Club yang disertai 47 ahli,” katanya.

Untuk tahun ini, BPU PKNS juga berhasrat untuk mempertingkatkan lagi inisiatif pembentukan minda dan memperkasakan kemahiran keusahawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 8:11 AM