DENNIS (tengah) melancarkan CTOS SME Score bersama tetamu. FOTO Aswadi Alias
Nurhayati Abllah


KUALA LUMPUR: CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) melancarkan CTOS SME Score bagi memacu pertumbuhan segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.

Kaedah berkenaan sebagai usaha memperkasakan PKS dengan keyakinan dalam membuat keputusan dengan pantas, tekal dan objektif ketika menilai perniagaan serta pemilik yang bakal mereka hulurkan pinjaman, pajakan selain kredit perdagangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS, Dennis Martin berkata, menerusi penyediaan akses kepada satu titik tunggal rujukan kredit PKS, kaedah CTOS SME Score membolehkan perniagaan membuat keputusan kredit dalam hanya beberapa minit.

“Dalam segmen pembiayaan PKS yang semakin sesak, kami menjangkakan masa mencapai keputusan akan menjadi lebih cepat dan tuntas.

“Kaedah ini akan menjadi titik pencetus bagi pembuat keputusan PKS ketika mencari sumber pembiayaan,” katanya pada pelancaran CTOS SME Score, di sini.

Pada majlis sama turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman CTOS dengan OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan Fundaztic.

Martin berkata, kaedah berkenaan bukan hanya menyediakan satu peluang terbaik kepada PKS dalam memberi maklumat kemas kini mengenai kedudukan semasa PKS, malah pada masa sama adalah satu platform unik untuk mengukuhkan pertumbuhan sektor berkenaan.

Ditanya sama ada CTOS SME Score membantu kepada sumbangan pendapatan kepada syarikat, Martin berkata, ia memberi pertumbuhan yang signifikan. CTOS SME Score membantu PKS dengan mengadakan penilaian kebolehpercayaan kredit secara mudah dan universal supaya PKS boleh mendapat terma serta tawaran terbaik daripada bakal pemiutang dan PKS lain.

Ia dibangunkan dengan kerjasama FICO, peneraju global dalam bidang analytics dan pembangun piawai de facto bagi pemarkahan kredit di Amerika Syarikat.

Pada masa ini hampir sejuta PKS di Malaysia menyumbang sebanyak 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan angka berkenaan dijangka meningkat kepada 41 peratus menjelang 2020.

PKS membentuk 98 peratus perniagaan tempatan dan mewujudkan pekerjaan bagi dua pertiga daripada warga Malaysia yang bekerja.

Pada masa sama mereka berdepan kekangan termasuk modal, kekurangan rizab tunai dan tidak punya aliran tunai tidak berhalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:46 AM