PROJEK animasi di Malaysia bermula pada 1961 menerusi animasi Hikayat Sang Kancil. FOTO Faiz Anuar
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Industri teknologi dan kandungan kreatif Malaysia berada pada landasan tepat untuk terus berkembang dan kekal kompetitif dalam kalangan peserta industri antarabangsa yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri berkata, pertumbuhan itu juga disokong oleh peningkatan jumlah studio tempatan yang mendapat pengiktirafan dalam penghasilan kandungan idea asal yang berkualiti tinggi.

Katanya, hasil karya atau harta intelek Malaysia kini mula menerajui sektor kandungan kreatif global dengan pelbagai produk menarik seperti animasi dan permainan Re:Legends, No Straight Roads, Boboiboy serta Upin dan Ipin.

“Negara ini mempunyai sejarah yang panjang dalam menyediakan kandungan kreatif berkelas dunia yang menyokong pelbagai projek antarabangsa yang meraih anugerah berprestij.

“Antaranya, termasuklah Anugerah Emmy bagi siri Transformers Prime, siri animasi Star Wars serta permainan bersiri untuk Playstation yang begitu popular, Street Fighter V dan Final Fantasy XV.

“Jadi, ia membuktikan bahawa Malaysia dalam landasan tepat bagi pertumbuhan untuk industri ini di peringkat global,” katanya pada majlis pelancaran Level Up KL 2019 di sini.

Projek animasi di Malaysia bermula pada 1961 menerusi animasi Hikayat Sang Kancil sepanjang 13 minit manakala siri animasi pertama negara pula adalah Usop Santorian yang bersiaran pada 1996.

Sehingga kini, nilai eksport kandungan animasi di negara ini berjumlah lebih RM165 juta yang berada dalam pasaran kira-kira 120 negara di seluruh dunia.

Selain itu, sektor permainan (gaming) di Malaysia mula bertapak pada 1992 melalui syarikat Motion Pixel Sdn Bhd yang membangunkan permainan video Ghoul Patrol untuk Lucasarts.

Dalam pada itu, Surina berkat, bagi memperkukuhkan lagi industri terbabit, lebih banyak kerjasama strategik utama dilaksanakan pada tahun lalu.

“Antaranya termasuklah mewujudkan syarikat animasi tempatan, antara Monsta dan Animasia bersama Takara Tomy dan pengendali taman tema di Johor.

“Ekosistem teknologi kreatif negara ini terus diperkaya dengan kehadiran peserta terkemuka antarabangsa, iaitu syarikat OLM di sebalik animasi Pokemon dan BaseFX, studio yang menjalankan filem Marvel dan Star Wars,” katanya.

Tambahnya, studio teknologi kreatif yang berpangkalan di Malaysia menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pembangunan permainan, animasi, kejuruteraan, percubaan dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 7:00 AM