EDISI Merdeka model Proton X70.


PROTON Holdings Berhad (Proton) memperkenalkan Proton X70 Edisi Merdeka (EM) melalui pengedarnya Ming Heng Motor, Setapak.

Didatangkan secara ekslusif pada model Proton X70 varian Premium, sebanyak 62 unit Proton X70 EM ditawarkan pada harga RM126,100 dengan dua warna pilihan iaitu putih (snow white) dan merah (flame red).

Dihasilkan seiring dengan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-62, model edisi terhad berkenaan diyakini mendapat sambutan baik memandangkan permintaan tinggi terhadap model ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dalam kenyataan berkata, cecara mekanikal, Proton X70 EM ini mempunyai ciri-ciri yang sama pada varian Premium Proton X70.

“Perbezaan yang dilakukan adalah pada rekaan luar dan beberapa tambahan pada bahagian dalam. Pada bahagian luar, bumbung dan bahagian A-pillar telah diwarnakan dengan cat yang dikenali sebagai Quartz Black.

“Pelindung pintu turut dipasang di sekeliling kereta bersama plat pelindung (scuff plate) di bampar belakang dan bagi melengkapkan sentuhan akhir, lambang atau emblem ‘Merdeka Edition’ diletakkan di bahagian belakang.

“Di bahagian dalam pula, kami turut menggantikan alas kaki baharu, pelapik but belakang dan lambang Edisi Merdeka bernombor khas untuk menjadikan setiap unit model ini unik,” katanya.

Menurutnya, Proton X70 Edisi Merdeka ini adalah hasrat Proton untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.

“Kami amat berterima kasih di atas sokongan daripada pelanggan dan kerajaan Malaysia terhadap Proton. Pengeluaran model Proton X70 edisi khas ini adalah cara kami menunjukkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 2:51 PM