PRASARANA berada pada landasan tepat hasil kejayaan pelaksanaan kecekapan kos. FOTO Asyraf Hamzah
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Kejayaan pelaksanaan kecekapan kos oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjadikan syarikat pengangkutan awam itu kini berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran pendapatan sehingga RM900 juta pada tahun ini.

Syarikat itu, setakat separuh pertama berakhir 30 Jun 2019 berjaya menjimatkan kos RM278.8 juta, melepasi sasaran awal berjumlah RM238.5 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, usaha itu membuktikan strategi dilakukan Prasarana itu mula berhasil seiring dengan pelan pemulihannya.

Menurutnya, kecekapan kos itu bagaimanapun tidak menjejaskan prestasi operasi utama syarikat itu apabila hampir semua perkhidmatannya mencatatkan peningkatan memberangsangkan.

“Kadar penumpang untuk perkhidmatan Rapidrail dari LRT, MRT dan Monorel meningkat 10 peratus kepada 113 juta penumpang dan Rapidferry pula melonjak sehingga 233 peratus iaitu 700,000 penumpang.

“Bagaimanapun, kadar penumpang Rapidbus pula hanya menunjukkan sedikit penurunan, namun masih mempunyai prestasi baik dengan 81 juta penumpang untuk tempoh terbabit,” katanya pada sidang media dan taklimat prestasi separuh pertama 2019 di sini, semalam.

Dalam tiga perkhidmatan berasaskan tambang, Rapidrail mempunyai 700,000 penumpang setiap hari dari 115 stesen sepanjang 151 kilometer dan Rapidbus mengambil 450,000 penumpang sehari menerusi 1,914 bas untuk 325 laluannya.

Rapidferry yang beroperasi di Pulau Pinang yang menghubungkan Butterworth ke bahagian pulau pula setiap hari menerima 3,700 penumpang, 1,400 kereta dan 2,400 motosikal menggunakan enam feri untuk 54 perjalanan.

Katanya, Prasarana sentiasa komited untuk memberi tumpuan kepada pertumbuhan syarikat melalui tiga teras utama yang merangkumi peningkatan kadar penumpang, pengoptimuman kos dan kualiti perkhidmatan.

“Berpandukan kepada tiga teras ini, syarikat berjaya mengurangkan kos dan pendapatannya kini berada dalam aliran meningkat serta kemajuan dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).

“Malah, kami turut menyasarkan peningkatan positif untuk EBITDA menjelang 2021,” katanya.

Selain itu, katanya, Prasarana di bawah tiga tumpuan utama itu juga, syarikat melaksanakan pelbagai insiaitif seperti pensijilan untuk lima standard.

Antaranya membabitkan sistem pengurusan kualiti, alam sekitar, kesiharan dan keselamatan pekerja, keselamatan maklumat dan pengurusan anti rasuah.

Sementara itu, katanya, Prasarana merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan dompet elektronik (e-dompet) dalam masa terdekat sebagai usaha untuk kekal relevan dalam kalangan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 7:03 AM