NAZILAH (depan) bersama Muhammad Razman (empat dari kanan) melihat produk keluaran usahawan tempatan selepas majlis perasmian Program Local Marketer Conference. FOTO Faiz Anuar
Sofyan Rizal Ishak


SHAH ALAM: Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) mencadangkan kerajaan mengambil inisiatif untuk membuka pasar mini bertaraf antarabangsa di luar negara bagi menjadi pusat sehenti kepada semua produk usahawan tempatan.

Presidennya, Datuk Nazilah Idris berkata, pembukaan pasar raya yang dikenali dengan nama Malaysia Halal Mart itu bakal berfungsi bagi memperkenalkan jenama Malaysia ke seluruh negara dan membantu umat Islam di luar negara memperoleh produk halal dengan mudah dan tanpa keraguan.

“Ini adalah sebahagian resolusi kami untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi memberi platform terbaik kepada usahawan yang berhasrat mengembangkan perniagaan ke peringkat global,” katanya pada sidang media bersempena Local Marketer Conference.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Muhammad Razman Abu Samah yang merasmikan program terbabit.

Persidangan anjuran MCED yang dihadiri seramai 120 usahawan itu menyaksikan mereka meninjau peluang memasarkan produk di pasaran tempatan melalui penganjuran sesi padanan bersama tujuh pasar mini.

Ia juga platform bagi menyatukan lebih banyak pasar mini dan pasar raya di seluruh negara dengan usahawan yang memiliki produk menarik dan sedia dieksport tanpa campur tangan daripada orang tengah.

Beliau berkata, program itu adalah langkah terakhir MCED dalam memberi peluang kepada usahawan tempatan meneroka pasaran tempatan sebelum merancang menganjurkan acara itu untuk pasaran luar negara pada masa depan.

Menurutnya, pada masa ini ramai usahawan tempatan menghasilkan produk namun tidak berada di pasaran yang sesuai dengan keperluan dan kehendak pengguna.

“Untuk ke pasaran luar negara, kami akan melakukan pemilihan terhadap usahawan yang sedia untuk mengeksport dan kami juga akan membantu serta membimbing usahawan yang masih belum sedia mengeksport ke pasar mini bagi membina keupayaan dan kapasiti mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:15 AM