AIRPORT Care Ambassador semasa membantu penumpang berikutan gangguan sistem yang melanda kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak malam 21 Ogos lalu. FOTO ihsan pembaca
Nabil Basaruddin


SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (MAVCOM) tidak berpuas hati dengan insiden gangguan sistem yang melanda kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak malam 21 Ogos lalu.

MAVCOM turut menyatakan kebimbangan bahawa perkara yang terjadi itu mampu menjejaskan serta memberi kesan kepada penumpang yang menggunakan lapangan terbang itu.

“Sebagai suruhanjaya, kami sentiasa berusaha dan komited untuk mengukuhkan industri penerbangan di Malaysia dan menjadi tugas kami untuk menyediakan mekanisme perlindungan pengguna penerbangan.

“Dengan apa yang terjadi ketika ini di dua terminal berkenaan, kami tidak begitu berpuas hati,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Gangguan yang berlaku itu antara lain menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Mengulas lanjut, suruhanjaya itu berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan mahu mereka memaklumkan kepada penumpang dan syarikat penerbangan apabila operasi akan kembali normal sambil terus menangani krisis yang sedang berlaku.

“Kami memahami bahawa MAHB selaku pengendali lapangan terbang kini bekerja keras bersama pelbagai pihak berkaitan termasuklah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memulihkan operasi lapangan terbang,” katanya.

Tambahnya, MAVCOM juga akan terus memantau dan menilai tahap perkhidmatan di KLIA menerusi Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang serta Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

MAHB dalam kenyataan berasingan sebelum ini menasihatkan penumpang supaya berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu pesawat mereka berlepas.

Selain itu, empat bas tambahan turut disediakan oleh MAHB bagi memudahkan pergerakan penumpang ke pesawat yang diletakkan jauh dari Terminal Utama berikutan masalah teknikal, selain menggunakan kesemua 38 tapak pesawat di Terminal Utama KLIA.

Menurut operator lapangan terbang itu, bagi mengurangkan masalah yang berlaku, semua 38 tapak pesawat tanpa pintu di terminal utama KLIA digunakan untuk memenuhi keperluan kapal terbang yang tidak dapat bergerak ke pintu yang dijadualkan kerana masih digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:20 PM