KHAIRUSSALEH (kiri) ketika taklimat media prestasi kewangan RHB Bank, semalam. FOTO Nik Hariff Hassan
KHAIRUSSALEH (kiri) ketika taklimat media prestasi kewangan RHB Bank, semalam. FOTO Nik Hariff Hassan
hmdigital

KUALA LUMPUR: RHB Bank Berhad (RHB Bank) mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan bagi segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersandarkan kepada pinjaman yang diluluskan menghampiri RM4 bilion pada tempoh separuh pertama 2019.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pinjaman berkenaan memberi manfaat kepada lebih 2,000 perniagaan dari segmen PKS pada tempoh itu.

Beliau berkata, pinjaman dan pembiayaan untuk PKS berkembang sebanyak 3.3 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini manakala pertumbuhan tahun ke tahun pula adalah 7.2 peratus dengan kadar kelulusan sebanyak 82 peratus.

“Segmen PKS akan menjadi antara penyumbang utama kepada bank dan kami kini pada landasan tepat untuk mencapai sasaran 27 peratus sumbangan segmen berkenaan pada tahun ini.

“Melangkah ke hadapan, pihak RHB Bank akan terus menyediakan pelanggan daripada segmen PKS dengan ekosistem pembiayaan yang menyeluruh yang membolehkan kami menawarkan produk berinovasi kepada mereka.

“Malah, kami berharap mereka dapat menikmati manfaat seperti nilai tambah kepada perkhidmatan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan dengan lebih cemerlang lagi,” katanya pada taklimat media prestasi kewangan RHB Bank untuk separuh pertama yang berakhir 30 Jun 2019, semalam.

Pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2019, Kumpulan RHB Bank merekodkan untung bersih sebanyak RM1.25 bilion, meningkat 7.3 peratus dan pendapatan pula berkembang sekitar 3.9 peratus kepada RM3.51 bilion.

Khairussaleh berkata, strategi lima tahun yang dilaksanakan oleh bank itu, FIT22 berjalan lancar seperti yang dirancang untuk memperkukuhkan kedudukan serta operasi RHB Bank di negara ini.

“FIT22 memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi perniagaan dan keupayaan perusahaan melalui perjalanan teknologi digital untuk manfaat bank serta pelanggan kami,” katanya.

Selain itu, ketika ditanya mengenai sasaran pertumbuhan pinjaman RHB Bank pada tahun ini, Khairussaleh berkata, pihaknya yakin segmen itu akan berlegar sekitar lima peratus berbanding 5.5 peratus tahun lalu.

Menurutnya, segmen pinjaman dalam sektor perbankan dijangka berkembang pada kadar yang sederhana disokong oleh isi rumah yang mampan pada tempoh ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 6:53 AM
Digital NSTP Subscribe