KAMARUL Ariffin
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Kumpulan Affin Bank Berhad (Affin Bank) terus memperkukuhkan kehadirannya dalam sektor perbankan tempatan dengan mempertingkatkan keupayaannya dalam platform perbankan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, bank ketika ini menaik taraf kecekapan operasi khususnya dari aspek digital dalam memperkayakan pengalaman pelanggan.

Beliau berkata, pada separuh kedua tahun ini, pelanggan bakal menikmati lebih banyak tawaran digital dengan Kad Kredit AFFIN Pay @ E-Wallet serta Visa Signature yang dilancarkan Julai lalu.

“Perbankan Internet Runcit dan Perbankan Internet Mudah Alih yang baharu juga dalam perancangan untuk diperkenalkan.

“Bagi Perbankan Korporat, sistem perbankan transaksi baharu akan membolehkan Affin Bank menarik pelanggan baharu dan meningkatkan pengalaman pelanggan sedia ada,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Kamarul Ariffin berkata, bagi segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ekosistem PKS baru juga berkembang dan kumpulan berkerjasama dengan rakan teknologi kewangan (fintech) terkenal untuk merealisasikan inisiatif berkenaan.

“Kumpulan juga akan terus berusaha memaksimumkan nilai sinergi dan melaksanakan banyak strategi untuk memacu fasa pertumbuhan seterusnya.

“Malah, ia sebagai langkah bersepadu dalam memenuhi persekitaran dan keperluan perniagaan yang sentiasa berubah-ubah,” katanya.

Mengulas mengenai pelannya tahun ini, beliau berkata, fokus strategik Affin Bank akan kekal pada segmen perbankan runcit dan perniagaan khususnya segmen PKS.

“Pada separuh kedua tahun ini, industri perbankan dijangka dipengaruhi pertumbuhan pinjaman sederhana dan pasaran modal yang lembap.

“Keadaan pasaran semasa, baik di peringkat global dan domestik akan terus mendorong turun naik dan ketidakpastian dalam industri,” katanya.

Tambahnya, langkah berhati-hati akan diguna pakai dalam industri disebabkan prospek ekonomi sederhana di peringkat global dan pertumbuhan aset terpilih akan menjadi fokus kepada semua bank.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 7:00 AM