PENGERUSI AIM, Datuk Junaidah Kiting (dua dari kiri) bersama Mohamed Shamir (tiga dari kiri) melekatkan bendera pada majlis pelancaran Program Semarak Merdeka AIM 2019, semalam. FOTO Mahzir Mat Isa
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjaya menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.6 bilion kepada 340,000 peminjam atau Sahabat AIM dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Urusannya, Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, pencapaian itu menjadikan AIM kini berada dalam landasan positif bagi mencapai sasaran untuk menyalurkan pembiayaan RM2.5 bilion kepada 400,000 Sahabat bagi 2019.

“Kami juga dijangka mencatatkan rekod baharu daripada aspek bilangan Sahabat tahun ini apabila ia dijangka melebih jumlah tertinggi Sahabat AIM yang pernah dicatatkan pada 2016 iaitu seramai 350,000.

“Setakat ini, kami mendaftarkan dan menyalurkan pembiayaan kepada 340,000 Sahabat AIM dan kami yakin mampu mencapai sasaran awal Sahabat seramai 350,000 dengan sasaran keseluruhan iaitu 400,000 menjelang hujung tahun ini,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Program Semarak Merdeka AIM 2019 di sini, semalam.

AIM yang ditubuhkan pada 1987 telah menyalurkan pembiayaan bernilai RM22 bilion dan memberi manfaat kepada lebih daripada satu juta Sahabat membabitkan mereka yang masih dan sudah membayar pinjaman masing-masing.

Dalam perkembangan sama, AIM menyambut baik langkah kerajaan membantu mereka melalui pelepasan cukai selama enam tahun kepada kakitangan dan Sahabat AIM bermula pada tahun ini sehingga 2024.

“Kami amat menghargai sokongan dan inisiatif kerajaan ini di mana hasil dari pelepasan cukai terbabit boleh digunakan bagi membantu Sahabat AIM yang berpendapatan rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 6:37 AM