SEBAHAGIAN hadirin yang menyertai kuiz pada pelancaran 9.9 Super Shopping Day.
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan mencatatkan peningkatan tiga kali ganda jumlah pesanan bagi acara 9.9 Super Shopping Day pada tahun ini berbanding acara sama pada tahun lalu.

Edisi kali ini disifatkan sebagai paling berjaya buat masa ini di mana ia menyaksikan platform itu menawarkan lebih daripada 113 juta tawaran pada 9 September lalu dan berjaya menjual 187,606 barangan dalam tempoh seminit pada waktu puncaknya.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, 9.9 Super Shopping Day kali ini menyaksikan pihaknya melangkaui semua jangkaan dan mencapai kejayaan baharu melalui penyertaan lebih banyak jenama, penjual dan rakan kongsi bagi acara membeli-belah ini.

“Sebagai pencipta 9.9 Super Shopping Day, kami bangga melihat acara utama kami menjadi tarikh penting dalam kalendar membeli-belah dalam talian di rantau ini.

“Rentetan daripada pertumbuhan dan kejayaannya yang berterusan, peniaga runcit luar dan dalam talian serta laman web membeli-belah dalam talian lain turut mengalami demam 9.9,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pengguna di Malaysia menikmati koleksi promosi terbesar yang tiada tandingan dan hiburan tanpa henti pada 9 September lalu termasuk penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM9.

Menurutnya, jenama berprestasi tinggi menyaksikan purata peningkatan sebanyak 6,780 kali dalam trafik dan 400 kali dalam jualan berbanding dengan hari biasa.

Pengguna merebut tawaran terbaik bagi jenama dan produk kegemaran mereka yang menyaksikan Mr DIY, Mydin dan Nestle menjadi antara jenama paling popular manakala, barangan paling laris adalah fon telinga tanpa wayar, kasut, telefon pintar dan periuk tekanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:41 AM