TREND pembayaran dompet elektronik berkembang pantas.
Oleh Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Malaysia dalam landasan tepat mencapai tahap kecekapan ekonomi dengan pertumbuhan pesat transaksi tanpa tunai dalam kalangan pengguna di negara ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara itu juga disumbangkan peningkatan kadar penembusan terhadap segmen perbankan dalam talian dan mudah alih, kad elektronik dan dompet elektronik.

Beliau berkata, perkembangan dalam dunia digital, persaingan dan inovasi membawa perubahan terhadap transformasi sistem pembayaran dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Peningkatan penggunaan pembayaran elektronik (e-pembayaran) dan e-dagang membolehkan pengguna menikmati pengalaman transaksi lebih pantas, lancar dan murah.

“Sektor korporat dan perniagaan berpeluang meningkatkan kecekapan serta kelancaran operasi daripada proses pembayaran kepada penerimaan dana.

“Peralihan ke arah ekonomi tanpa tunai ini juga diharap dapat mengurangkan kemungkinan untuk rasuah serta mengelak dari cukai,” katanya pada majlis pelancaran dompet elektronik 1Pay dan platform e-dagang Oneshop oleh 1 Utama di sini.

Lim berkata, berdasarkan Pelan Induk Sektor Kewangan oleh Bank Negara Malaysia, antara 2011 hingga 2020, negara dapat mencapai satu peratus penjimatan kos daripada pertumbuhan ekonomi dengan beralih kepada transaksi e-pembayaran.

Menurutnya, jumlah transaksi pembayaran mudah alih turut berkembang dua kali ganda kepada lebih 34 juta pada tahun lalu daripada dua juta transaksi pada 2017.

“Malah, e-pembayaran juga meningkat tiga kali ganda kepada 125 transaksi per kapita pada 2018,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor e-dagang di Malaysia merekodkan nilai jualan sehingga AS$2.4 bilion (RM10 bilion) tahun lalu.

Katanya, dengan kecekapan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sektor digital negara ini berjaya menarik pelaburan melebihi RM320 bilion pada 2018 dan ia membantu mengembangkan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) domestik yang bernilai RM40 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 7:31 AM