DUDUK, dari kiri, Ketua Pegawai Usaha Niaga TNB dan Pengarah GSPARX, Datuk Nor Azman Mufti, Pengarah Eksekutif Mydin Holdings, Datuk Murad Ali Mydin dan Ketua Pegawai Runcit TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan menandatangani perjanjian SARE.
Sofyan Rizal Ishak

MYDIN Mohamed Holdings Bhd (Mydin Holdings) menjalinkan kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui GSPARX Sdn Bhd untuk memasang panel solar photovoltaic (PV) di bumbung Mydin Mall Manjoi di Ipoh, Perak.

Panel solar berkapasiti 324 kilowatt-peak (kWp) itu dijangka membolehkan penjimatan sehingga RM3.24 juta di Mydin Mall Manjoi untuk tempoh 25 tahun kontrak perjanjian.

Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, perjanjian itu akan membolehkan kedua-dua pihak meneroka peluang kerjasama baharu untuk cawangan pasar raya besarnya yang lain.

“Langkah kecil ini diharap dapat membuka peluang kerjasama bagi tujuh lagi cawangan pasar raya besar kami selepas ini,” katanya pada majlis memeterai perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) antara kedua pihak di sini.

SARE yang dimeterai adalah antara GSPARX Sdn Bhd iaitu anak syarikat TNB Renewables Sdn Bhd (milik penuh TNB) dan Mydin Holdings.

Ia menjadikan Mydin Holdings sebagai rantaian peruncit pertama di Malaysia yang menyahut inisiatif kerajaan dalam meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Beliau berkata, fokus Mydin bukan sahaja kepada keuntungan, malah aspek kemanusiaan dan alam sekitar turut ditekankan selari dengan konsep ‘triple bottom line’ (individu, planet dan keuntungan).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:21 AM