PENGARAH Mygo, Datuk Mohamad Azli Mohemed Saad (tiga dari kiri) bersama Sivarraajh (dua dari kiri) pada majlis pelancaran e-hailing Mygo.
Oleh Lizam Ridzuan


SACKZ Exclusive Sdn Bhd, syarikat perkhidmatan e-hailing tempatan melalui aplikasi Mygo menyasar untuk menyediakan hingga 30,000 pemandu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pegawai Perhubungan Korporatnya, Datuk C Sivarraajh berkata, pada masa ini 2,000 pemandu berdaftar dengan 20,000 muat turun aplikasi dicatatkan sejak ia dilancarkan pada Mac lalu.

“Kami menyediakan konsep perkhidmatan yang meliputi aspek tambang berpatutan, keselamatan penumpang dan pemandu, kebajikan rakan niaga serta teknologi menghubungkan masyarakat dengan dunia luar,” katanya selepas pelancaran e-hailing Mygo, di sini.

Antara kelebihan lain ia menawarkan rangkaian pelbagai model pilihan kepada pelanggan seperti kereta ekonomi dan premium, kenderaan pelbagai guna (MPV), pemandu wanita, teksi dan teksi eksekutif.

Beliau berkata, skim pemilikan kereta fleksibel juga disediakan dengan 100 kereta jenama Proton melalui sewa beli kepada pemandu yang menghadapi masalah kelayakan pinjaman di bank komersial.

Untuk kelegaan, Mygo turut menanggung kos bayaran lesen PSV, EVP dan pemeriksaan Puspakom kepada pemandu berjumlah RM300 bagi lebih peluang kepada belia memulakan kerjaya atau masyarakat yang mencari pendapatan sampingan.

“Mygo juga bakal menyediakan peluang tambahan untuk Pemilikan Saham Bersyarat kepada pemandu yang aktif dengan perkhidmatan kami dari tiga hingga lima tahun serta purata pendapatan sekitar RM5,000,” katanya.

Aplikasi Mygo boleh dimuat turun menerusi Google Play dan App Store dengan hab di setiap negeri bakal beroperasi secara berperingkat bermula bulan ini.

Mygo juga merancang untuk menyediakan “Last Mile Connectivity” meliputi kawasan bandar dan luar bandar untuk capaian tanpa batasan faktor geografi.

Selain pemandu, Mygo menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan runcit, kiriman dan logistik dan kiriman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 7:24 AM