KUALA LUMPUR 25 APRIL 2019. PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) Station. NSTP/PETRONAS
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


PETRONAS berjaya merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak RM121.1 bilion, naik RM3.9 bilion bagi separuh tahun pertama 2019 berbanding RM117.2 bilion yang dicatat tempoh sama tahun lalu.

Gergasi minyak dan gas negara itu turut mencatatkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan sebanyak 9.0 peratus kepada RM28.9 bilion berbanding RM26.6 bilion separuh tahun pertama 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pencapaian prestasi kewangan itu dianggap boleh membanggakan hasil fokus berterusan kumpulan dalam memastikan kecemerlangan perniagaan, operasi dan komersial, serta usaha terbaik memaksimumkan penjanaan tunai.

Katanya, pada suku pertama 2019 pula menyaksikan ketidaktentuan harga minyak yang besar bagi sektor minyak dan gas (O&G), ketegangan geopolitik, perlindungan dagangan dan tekanan kelembapan ekonomi yang berlaku lebih cepat berbanding unjuran.

“Peningkatan pendapatan kumpulan bagi tempoh ini disumbangkan jumlah jualan produk petroleum dan gas asli cecari (LNG) yang tinggi, kelemahan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

“Sebahagiannya ditimbal balas dengan purata harga lebih rendah bagi petroleum dan produk petrokimia sepanjang tempoh itu,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi separuh tahun pertama 2019 Petronas di sini, semalam.

Sementara itu, beliau turut menjangkakan pembayaran dividen bagi tahun depan lebih rendah berbanding RM54 bilion disalurkan kepada kerajaan tahun ini.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak dapat memperincikannya secara lanjut supaya tidak mendahului kerajaan dalam dividen dan peruntukan pada pembentangan Bajet 2020 pada Oktober ini.

Daripada keseluruhan dividen RM54 bilion RM24 bilion adalah dividen normal, manakala baki RM30 bilion lagi adalah dividen khas.

Dividen khas RM30 bilion itu diumumkan Petronas November tahun lalu untuk membantu mengukuhkan Bajet 2019 kerajaan yang ketika itu berdepan keperluan menyelesaikan tunggakan pembayaran balik cukai perkhidmatan dan barangan (GST) dan cukai pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 7:40 AM