MOHD Ariff mahu merapatkan jurang bilangan profesional Malaysia dengan negara lain.
Hazwan Faisal Mohamad


KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyasar untuk melahirkan 100 penganalisis kewangan bertauliah (CFA) pada tahun ini dan tahun depan sebagai sebahagian usaha untuk meningkatkan jumlah profesional itu dalam kalangan Bumiputera.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ariff Ithnin berkata, pada masa ini jumlah pemegang CFA Bumiputera di Malaysia hanya 127 orang daripada keseluruhan 869 CFA yang berdaftar di dalam negara.

Selain meningkatkan pemegang CFA Bumiputera, pihaknya juga mahu merapatkan jurang bilangan profesional itu di Malaysia dengan negara lain seperti Singapura yang setakat ini mempunyai lebih 3,400 CFA.

“Kami menawarkan program ini sejak 2013 dan sehingga kini berjaya melahirkan 57 pemegang CFA. Sebelum ini, jumlah CFA Bumiputera kira-kira 50 orang sahaja.

“Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 3,000 CFA bagi memenuhi kehendak pasaran kewangan dan angka itu masih jauh untuk dicapai berbanding 869 CFA ketika ini.

“Justeru, yayasan akan terus giat mempromosikan dan mempelawa Bumiputera yang berkelayakan supaya memohon dan menyertai program CFA kelolaan kami,” katanya kepada media di sini.

Yayasan Peneraju ditubuhkan pada 2012 dan kini berada di bawah urus tadbir Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang berperanan antaranya menyediakan peluang pendidikan berkualiti dan latihan kepada Bumiputera serta memupuk dan membangun bakat Bumiputera ke potensi tertinggi.

Yayasan itu sudah membiayai lebih 25,000 pemohon setakat ini dan menawarkan lebih 200 program sama ada untuk pembangunan kemahiran atau profesional.

Bagi program CFA di bawah yayasan itu, ia dibuka kepada Bumiputera berusia tidak lebih 40 tahun dan mempunyai ijazah sarjana muda dalam kewangan atau mana-mana bidang dengan CGPA 3.0 ke atas.

Mengulas lanjut Ariff berkata, selain CFA, pihaknya juga menawarkan satu lagi program profesional yang dilihat sangat penting dalam industri kewangan iaitu pengurus risiko kewangan (FRM).

Katanya, program profesional itu mula ditawarkan sejak dua tahun lalu dan setakat ini berjaya melahirkan tiga FRM.

“Jumlah FRM di Malaysia ketika ini amat rendah iaitu 119 orang dengan 22 sahaja adalah Bumiputera. Jadi, kita nampak ada keperluan untuk membantu meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam program ini.

“Kedua-dua sijil profesional ini sebenarnya amat kritikal dan dicari oleh ramai majikan dan menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 12:00 PM