GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


INSTITUT Penyelidikan Khazanah (KRI) melihat klasifikasi pendapatan di Malaysia yang dibahagikan kepada tiga golongan iaitu B40, M40 dan T20 perlu diperhalusi supaya bantuan dan subsidi yang akan disalurkan oleh kerajaan benar-benar sampai kepada khalayak sasaran.

Penyelidik Kanan KRI, Hawati Abdul Hamid berkata, menerusi kajian yang dijalankan, KRI mencadangkan bahawa klasifikasi kumpulan ini perlu diperhalusi menjadi B20 yang ketika ini dipanggil B40, M50 (ketika ini M40) dan T30 (ketika ini T20).

Katanya, definisi kumpulan pendapatan ini tidak tetap dan istilah ini mewakili peratus populasi negara dan nilai ini mungkin naik atau turun dari tahun ke tahun, bergantung kepada penyata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Berdasarkan perangkaan pendapatan dan penggunaan isi rumah pada 2014, pendapatan median isi rumah bagi B40 ialah sebanyak RM2,629, M40 (RM5,465) dan T20 (RM11,610).

“Namun, kami dapati pecahan berkenaan tidak lagi sesuai dan perlu diubah di mana ia perlu diklasifikasikan kepada B20, M50 dan T30.

“Melalui kajian yang kami jalankan, didapati golongan B20 adalah mereka yang hanya mampu memenuhi barangan keperluan asas (makanan, rumah dan pakaian).

“Untuk kumpulan ini, apa yang perlu kita beri adalah bantuan kewangan dan mereka ini yang lebih layak untuk menerima skim Bantuan Sara Hidup (BSH),” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penyelidik KRI, Dr Suraya Ismail dan Penyelidik KRI, Gregory Ho Wai Son.

Selain itu, Hawati berkata, golongan M50 juga berdepan dengan kekangan untuk berbelanja membabitkan barangan keperluan asas dan keperluan lain.

Beliau berkata, golongan M50 ini juga perlu diberi perhatian memandangkan kumpulan ini adalah pembayar cukai dan ia mengurangkan jumlah pendapatan mereka.

“Hasil kajian mendapati golongan M50 masih berdepan kekangan untuk berbelanja, khususnya apabila berdepan situasi kecemasan seperti masalah kenderaan.

“Ia memaksa mereka mengorbankan perbelanjaan keperluan lain untuk menyelesaikan masalah terbabit.

“Bagi kumpulan ini, mereka tidak memerlukan bantuan seperti BSH tetapi lebih kepada memperkasa dan memperluas akses terhadap peluang untuk menambah pendapatan mereka,” katanya.

Hawati berkata, bagi golongan T30 iaitu 30 peratus daripada jumlah populasi, golongan ini dilihat tidak mempunyai kekangan untuk berbelanja memenuhi keperluan asas dan gaya hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 8:07 PM