KERAJAAN bakal perkenal skim pembiayaan inovatif yang membolehkan lebih ramai individu layak mendapatkan pinjaman perumahan.
Sofyan Rizal Ishak


KAJANG: Kerajaan bakal memperkenalkan beberapa inisiatif dan skim baharu bagi meningkatkan kadar pemilikan rumah di negara ini terutama dalam kalangan golongan B40 dan M40.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah berkata, pihaknya kini dalam fasa akhir bagi merangka Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober ini.

Menurutnya, kerajaan sedang dalam proses bagi mendapatkan cadangan dan maklum balas daripada semua pihak berkaitan untuk menangani isu pemilikan rumah ini termasuk mengurangkan ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan rumah.

“Sebagai contoh, kami mungkin memperkenalkan skim pembiayaan inovatif yang membolehkan lebih ramai individu layak mendapatkan pinjaman perumahan.

“Saya tidak ingin mengulas panjang mengenai perkara ini namun apa yang pasti, kami berharap inisiatif itu kelak dapat membantu dalam merealisasikan hasrat kerajaan agar rakyat dapat memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Pasaran Hartanah Separuh Pertama 2019 (H1 2019) dan Pelancaran Sistem Carian Hartanah Tidak Terjual Malaysia (UPESM) 2.0 di sini, semalam.

Beliau berkata, prestasi pasaran hartanah menunjukkan peningkatan pada separuh pertama 2019 (H1 2019) berbanding tempoh sama tahun lalu (H1 2018) sejajar dengan momentum pertumbuhan ekonomi bagi tempoh sama.


AMIRUDDIN

“Sektor hartanah mencatatkan peningkatan sebanyak 6.9 peratus kepada 160,172 transaksi pada H1 2019 berbanding 149,862 transaksi (H1 2018) serta peningkatan nilai kepada RM68.3 bilion (H1 2019) berbanding RM67.74 bilion (H1 2018).

“Semua subsektor hartanah iaitu kediaman, komersial, industri, pertanian dan tanah pembangunan mencatatkan peningkatan dalam aktiviti transaksi pada H1 2019,” katanya.

Subsektor kediaman terus memacu pasaran dengan menguasai lebih 60 peratus daripada jumlah transaksi dan 51 peratus daripada jumlah nilai keseluruhan.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 11:30 AM