PELANCARAN logo terbaru PROTON di Proton Centre, Subang Jaya. FOTO: Saddam Yusoff
Alzahrin Alias


PROTON Holdings Bhd (PROTON) melancarkan logo dan slogan baharu, Inspiring Connections dalam usaha PROTON menjadi jenama automotif moden global.

Logo baharu menampilkan rekaan bulat dengan masih mengekalkan lambang harimau tetapi memasukkan semula perkataan Proton.

Kali terakhir PROTON menukar logo dan slogannya adalah pada 2016 dan pengenalan logo itu membuka lembaran baharu terhadap perjalanan syarikat berkenaan.

Penjenamaan baharu itu dipacu oleh tiga nilai teras iaitu teknologi inovatif, kebolehpercayaan dan antarabangsa.

Lambang harimau dikemaskini dengan sentuhan warna perak dan penghasilan lebih mantap bagi mewakili jati diri Malaysia.

Dengan reka bentuk yang unik, logo ini memaparkan kepala harimau yang diangkat tinggi seperti anak panah, melambangkan kejayaan PROTON.

Slogan baru PROTON itu juga menampilkan aspirasinya dalam mengguna pakai teknologi dan mobiliti, mewujudkan hubungan kemanusiaan yang memberi inspirasi kejayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, penjenamaan ini bukan sekadar logo, slogan atau warna tetapi ia adalah aspirasi dan komitmen PROTON kepada pelanggan.

“Sebab itu kami tidak tergesa-gesa menjalankan penjenamaan ini pada 2017 yang lalu, sebaliknya memfokuskan kepada penyelesaian isu PROTON terlebih dulu.

“Ia adalah semangat baharu PROTON menjadi jenama automotif moden di peringkat global. Logo baharu ini akan mula digunakan pada Proton X70 pemasangan tempatan dan varian baru Proton akan datang.

“Semua pusat PROTON juga akan menggunakan logo baru ini secara berperingkat,” katanya.

Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar pula berkata, pengenalan logo itu membuka lembaran baru kepada perjalanan PROTON selama ini.

“Dipacu semangat baru, kami bangga mengatakan perjalanan syarikat sejak dua tahun lalu sudah berjaya membuktikan kemampuan menjadi jenama automotif moden,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 4:57 PM