DR Clause Weidner (kanan) bersama model terbaharu Mercedes-AMG A 35 4 Matic yang dilancarkan di Galeri Petronas, KLCC. FOTO: Saifullizan Tamadi.
Oleh Lizam Ridzuan


MERCEDES-BENZ Malaysia (MBM) menambah pilihan rangkaian model AMG di negara ini dengan memperkenalkan model terbaharu Mercedes-AMG A 35 4Matic Sedan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Clause Weidner berkata, model ini disasarkan buat golongan pemilik lebih muda yang gemarkan jentera berprestasi tinggi serta keselesaan untuk membawa penumpang dan barangan.

“Sedan ini juga sebagai model permulaan AMG untuk segmen kompak sedan yang ditala dengan transmisi dwi-klac 7G Speedshift DCT serta suspensi Sistem Peredam Adaptif,” katanya pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia turut dihadiri pelumba pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas, Lewis Hamilton.

Model terbaharu ini, dijana dengan enjin 1,991 cc ia menawarkan kuasa 306 hp pada 5,800 rpm dan tork puncak 400Nm pada 3,000 hingga 4,000 rpm serta kelajuan maksimum sehingga 250 kilometer/sejam (km/j).

Untuk kelesaan, sedan ini diasaskan dengan jarak roda 2,729 milimeter (mm) dengan ‘overhangs’ hadapan dan belakang lebih pendek, kapasiti but 420 liter dengan bukaan pintu seluas 950 mm untuk ciri praktikal.

Bagi menampilkan gaya sporty, ia dilengkapi rim aloi ringan AMG 19 inci, panel ‘sill’ perkataan Mercedes-Benz bercahaya, lampu belakang dan ‘difuser’ baharu menyerlahkan rekaan.

Ruang dalaman juga dengan sistem multimedia Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dan kerusi balutan kulit Artico serta kemasan merah gentian mikro Dinamica dan konsol tengah pelapik sesentuh AMG disediakan.

Untuk pasaran Malaysia Mercedes-AMG A 35 4Matic Sedan dijual pada harga bermula RM348,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun waranti pengeluar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 6:50 PM