LEMBAGA Tabung Haji mencatatkan peningkatan nilai ekuiti domestiknya sebanyak RM1.12 bilion kepada RM7.48 bilion.
LEMBAGA Tabung Haji mencatatkan peningkatan nilai ekuiti domestiknya sebanyak RM1.12 bilion kepada RM7.48 bilion.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan peningkatan nilai ekuiti domestiknya sebanyak RM1.12 bilion kepada RM7.48 bilion setakat 27 September tahun ini.

TH dalam kenyataan berkata, pihaknya terus mengambil peluang untuk melabur dalam pasaran ekuiti domestik bagi mengukuhkan portfolio pelaburan serta tidak pernah melepaskan pegangan ekuiti berjumlah RM2.6 bilion atau secara drastik sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, pelaburan TH tertumpu kepada syarikat utama Bursa Malaysia yang memiliki prestasi kewangan serta rekod dividen yang baik.

Selain itu, katanya, syarikat terbabit juga mampu menjana pendapatan stabil dan patuh syariah, termasuklah Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang juga antara pegangan terbesar dalam portfolio TH.

Secara keseluruhannya pegangan TH dalam TNB bertambah RM304 juta semenjak 18 bulan yang lalu.

“Bagi tahun 2019, TH tidak memiliki mahupun melupuskan pegangan saham dalam syarikat seperti FGV Holdings Berhad, Lion Industries Corporation Berhad, T7 Global Berhad, Shin Yang Shipping Corporation, Brahim’s Holdings Berhad dan Cheetah Holdings Berhad seperti yang dilaporkan media baru-baru ini,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, selain ekuiti, TH giat mencari peluang pelaburan dalam semua kelas aset seperti hartanah dan instrumen kewangan berpendapatan tetap seperti sukuk.

“TH sentiasa mengutamakan kepentingan pendeposit dan melabur selaras strategi alokasi aset yang mengutamakan pendapatan mampan buat jangka masa panjang dengan mengambil kira risiko bersesuaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:30 AM