SHOPEE Malaysia bersedia menerima pelaksanaan cukai perkhidmatan digital yang dijangka dilaksanakan bermula tahun depan.
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Shopee Malaysia menyokong dan bersedia menerima pelaksanaan cukai perkhidmatan digital yang dijangka dilaksanakan bermula tahun depan.

Langkah itu membabitkan cukai perkhidmatan digital sebanyak enam peratus ke atas penyedia perkhidmatan digital asing.

Ketua Perniagaan Shopee Malaysia, Zed Li berkata, keputusan kerajaan itu akan memberi impak terbaik untuk negara serta indusri.

“Kami yakin keputusan kerajaan itu akan memberi impak terbaik kepada negara dan industri.

“Sebagai peneraju platform e-dagang di Asia Tenggara, kami sentiasa menyokong perubahan setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan,” katanya kepada media selepas pelancaran kempen Beli Barangan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini, baru-baru ini.

Pada Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan pelaksanaan cukai perkhidmatan digital enam peratus mulai 1 Januari 2020.

Ia selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019.

Cukai kepada penyedia perkhidmatan digital asing sebanyak enam peratus itu dilaksana bagi memastikan satu ekosistem yang seimbang dapat diwujudkan.

Sementara itu, Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) mahu mendapatkan penjelasan daripada kerajaan sama ada industri itu akan dikenakan cukai digital, cukai pegangan atau kedua-duanya sekali menjelang 1 Januari 2020.

Pengerusinya, Ganesh Kumar Bangah dalam kenyataan berkata, industri itu terutamanya perkhidmatan awan dan pengiklanan dalam talian menerima kesan sekiranya mereka tertakluk kepada pelaksanaan cukai digital, kerana cukai itu adalah antara komponen kos terbesar kepada syarikat digital.

“Bagaimanapun, tidak jelas sama ada aplikasi ini juga perlu membayar cukai pegangan selain cukai digital.

“Jika aplikasi ini dikenakan kedua-dua cukai, maka sejumlah 16 peratus cukai kerajaan akan dikenakan ke atas sebahagian daripada komponen kos terbesar syarikat digital kita, menjadikan industri tempatan kita tidak kompetitif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 6:30 AM