PENGERUSI Eksekutif Kumpulan Widad Business Group (WBG), Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.
Sofyan Rizal Ishak


WIDAD Business Group (WBG) membuat tawaran untuk menguasai pegangan 51 peratus kepentingan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) di dalam konsesi PLUS Expressway Bhd (PLUS) pada pertimbangan tunai RM1.5 bilion atau menguasai 100 peratus pegangan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada pertimbangan tunai RM3 bilion.

Jika pengambilalihan konsesi itu berjaya, konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu itu akan

mengurangkan kadar tol sebanyak 25 hingga 40 peratus berbanding kadar sedia ada.

Ia turut mencadangkan untuk memberi diskaun 50 peratus pada musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali sepanjang tempoh yang difikirkan sesuai.

Selain itu, WBG akan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada, melaksanakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kelancaran dan pengurusan trafik di samping jaminan tiada sebarang pemberhentian pekerja dalam tempoh lima tahun selepas pengambilalihan terbabit.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, pengurangan kadar tol itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan bebanan kepada pengguna lebuh raya terbabit sekali gus memenuhi manifesto kerajaan dan memenuhi kehendak dasar kerajaan semasa,

Menurutnya, cadangan pengambilalihan itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 9 Oktober 2019.

“Kami membuat dua pilihan tawaran sama ada ambil alih alih 51 peratus kepentingan Khazanah atau ambil alih 100 peratus ke atas kepentingan Khazanah dan KWSP.

“Kedua-dua tawaran itu termasuk melupuskan pampasan dari pihak kerajaan berjumlah RM2.7 bilion hasil dari pemansuhan kutipan tol di Plaza Batu Tiga dan Bukit Kayu Hitam dengan tawaran terbabit telah mengambil kira tambahan lanjutan konsesi untuk tempoh 20 tahun daripada tarikh tamat konsesi sedia ada,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, WBG berhasrat mengecualikan kerajaan daripada membayar pampasan sebanyak RM338.5 juta kepada PLUS yang tertunggak pada 31 Disember 2018.

Muhammad Ikmal berkata, pilihan pertama dilihat lebih berdaya maju kerana menjuruskan kepada kerjasama awam swasta sekali gus memupuk budaya keusahawanan dalam pengurusan PLUS.

“Kami juga telah mengenal pasti rakan strategik global atau pelabur untuk menyediakan dana bagi tujuan pengambillalihan terbabit di samping dana dalaman syarikat dan cadangan untuk meraih dana menerusi sukuk nota jangka sederhana (MTN) dan terbitan ekuiti,” katanya.

Lebuh raya yang terbabit dalam konsesi PLUS ialah Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia - Singapura (LINKEDUA), Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 12:00 PM