BELIA mahu kerajaan memudahcarakan peluang pekerjaan terutama dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). GAMBAR hiasan


SEBAHAGIAN besar responden yang mengambil bahagian dalam kaji selidik dalam talian bersempena Belanjawan 2020 mahukan inisiatif yang boleh mengurangkan beban kos sara hidup selain lebih banyak peluang meningkatkan kehidupan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, kaji selidik yang dijalankan membabitkan lebih 7,000 responden dalam kalangan rakyat tempatan membabitkan pelbagai latar belakang, peringkat umur dan lokasi.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha pihak Kementerian Kewangan (MoF) membabitkan orang awam bagi berkongsi pandangan dan input untuk Belanjawan 2020.

“Responden dalam kalangan belia mendesak kerajaan memudahcarakan peluang pekerjaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), menyediakan insentif untuk pelatih dan perantis bagi membina peluang menimba pengalaman bekerja serta penambahbaikan program pembangunan kemahiran dan (modal) insan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, sejajar usaha itu, Kementerian Kewangan juga telah menjalankan 12 sesi konsultasi kumpulan fokus di pelbagai lokasi di seluruh negara bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang akan membentangkan Belanjawan 2020 pada esok.

Belanjawan 2020 adalah belanjawan kedua kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan.

Selain itu, majoriti responden dalam kaji selidik secara dalam talian juga meminta kerajaan meningkatkan lagi inisatif-inisiatif untuk menyokong golongan kurang bernasib baik, memastikan pembangunan seimbang bagi semua negeri dan menyediakan peluang sama rata untuk semua tanpa mengira kaum dan kepercayaan agama demi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

“Sehubungan itu, WKB 2030 mestilah berpandukan pertumbuhan ekonomi supaya dapat menjana kemakmuran untuk dikongsi bersama.

“Kerajaan telah meneliti dan mengambil perhatian terhadap maklum balas yang disampaikan rakyat menerusi kajian ini dan juga daripada sesi libat urus yang dilakukan menjelang Belanjawan 2020,” katanya.

Tahun lalu, Belanjawan 2019 telah memperuntukkan sebanyak RM259.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala, RM54.7 bilion bagi tujuan perbelanjaan pembangunan.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 3:01 PM