PENGERUSI Gainpact Keibi Enterprise, Datuk Razali Mohd Daud (kiri) dan Faridah menunjukkan produk keropok ikan di bawah jenama SEAmEQ.
Sri Ayu Kartika Amri


SERI KEMBANGAN: Gainpact Keibi Enterprise, pengeluar keropok ikan di bawah jenama SEAmEQ akan meluaskan pemasarannya di pasar raya besar seluruh negara.

Pengarah Urusannya, Datin Faridah Kasim berkata, produk keluarannya berada di pasar raya besar Giant di seluruh Malaysia dan menjelang akhir tahun ini akan memasuki pasaran Tesco serta Mydin.

Katanya, keropok ikan segera SEAmEQ semakin dikenali dan untuk memenuhi permintaan pelanggan pihaknya turut menembusi rangkaian runcit di hospital seluruh Semenanjung, koperasi sekolah dan universiti awam.

“Buat masa ini, produk kami hanya boleh didapati di Semenanjung Malaysia dan bagi pasaran Sabah serta Sarawak memang ada permintaan, namun kita fokus di sini terlebih dahulu.

“Selain itu, keropok ikan segera SEAmEQ ini juga telah mendapat permintaan dari negara Filipina serta China dan kami masih dalam peringkat perbincangan untuk fasa selanjutnya,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, syarikat juga membuka peluang kepada mereka yang berminat menjadi ejen dengan modal serendah RM146.

Faridah berkata, dengan permintaan yang semakin meningkat syarikat yakin dapat memenuhinya berikutan kilang operasi di Kuala Terengganu itu mempunyai kemampuan kapasiti pengeluaran sehingga 30,000 paket keropok setiap hari.

“Kami menjual pelbagai jenis keropok ikan, tetapi yang paling mendapat permintaan adalah keropok ikan segera yang mana pada masa ini terdapat tujuh perasa yang dijual iaitu asli, keju, bbq, kari, lada hitam, bawang putih serta jejari ikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 7:55 AM