KHAIRUL Kamarudin. FOTO NSTP


BANK Muamalat Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Khairul Kamarudin sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuatkuasa 1 November ini.

Ia bagi menggantikan Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid yang akan bersara.

Khairul sebelum ini memegang jawatan sebagai timbalan CEO selama lapan bulan.

Bank Muamalat dalam kenyataan hari ini berkata, Khairul memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Anglia Ruslin University, United Kingdom dan ahli Chartered Institute of Islamic Finance (CIIF).

“Beliau membawa 22 tahun pengalaman dalam bidang kewangan termasuk selama 14 tahun di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

“Sepanjang bertugas di BIMB, Khairul pernah memegang jawatan sebagai CEO BIMB, timbalan CEO, pengarah pembangunan perniagaan dan ketua perbankan pengguna,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebelum menyertai BIMB, beliau pernah menimba pengalaman di Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dan PriceWaterhouseCoopers Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr Munir Majid berkata, pihak bank mengalu-alukan pelantikan Khairul dan menanti hasil kerjanya dalam persekitaran pasaran serba mencabar.

“Dengan kelayakan dalam bidang perbankan Islam, kami yakin beliau dapat menerajui Bank Mualamat.

“Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Redza yang mengemudi Bank Mualamat selama 11 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 2:02 PM