DR Mahathir
hmdigital

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berusaha untuk meningkatkan kerjasama dengan jiran Aseannya bagi menampung impak perang perdagangan AS-China, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu katanya, boleh melemahkan sistem perdagangan.

Oleh itu perniagaan perlu merancang dengan baik serta mengelak gangguan.

“Kita perlu bangunkan kapasiti dengan membangunkan daya saing. Kita mesti membangunkan syarikat bertaraf dunia kita sendiri yang mampu menyaingi pesaing.

“Satu cara mencapainya dengan mengenal pasti aset dan keupayaan kita memanfaatkan teknologi baharu serta meningkatkan kualiti sumber manusia,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis, di sini, semalam.

Beliau berkata, perang perdagangan besar-besaran antara AS-China mungkin menunjukkan petanda lebih buruk yang melanda dua kuasa terbesar dunia itu, yang boleh menjurus kepada satu lagi Perang Dingin.

Dr Mahathir berkata, walaupun persaingan geostrategik bukan penyebab pertikaian perdagangan mereka sekarang, inilah akibat yang akan berlaku kesan daripada perang berpanjangan di peringkat dunia.

“Ini sangat mengecewakan apabila perdagangan yang sepatutnya bebas, kini terhad secara meluas.

“Malangnya, kita terperangkap. Dari segi ekonomi, kita terbabit dalam kedua-dua pasaran dan secara fizikal kita juga terperangkap dari segi geografi. Ada kemungkinan kita juga akan menjadi sasaran sekatan,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran dalaman, beliau berkata, isu paling besar dihadapi kerajaan sekarang ialah membersihkan masalah yang ditinggalkan rejim kleptokratik terdahulu, dan membangunkan semula negara.

Dr Mahathir berkata, untuk pulih dan berkembang, jentera kerajaan mesti dipulihkan dan menjadikannya cekap menerusi amalan sifar rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 7:42 AM