KAMARUL A Muhamad.
Oleh Alzahrin Alias


KUALA LUMPUR: Pemaju sistem pengangkutan udara tempatan, Aerodyne Group menjangka memperoleh kontrak mencecah lebih RM1 bilion menerusi pelbagai projek berkaitan dron dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Aerodyne adalah syarikat yang terbabit dalam rekaan kereta terbang yang sudahpun menjalani ujian pemanduan di Jepun dan akan dibawa pulang ke negara ini dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Kamarul A Muhamed berkata, menerusi bidaan itu, syarikat akan terus membolehkan Aerodyne memperoleh kedudukan lebih kukuh dalam pasaran penyedia perkhidmatan dron dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Bidaan kontrak itu untuk beberapa tahun akan datang dalam penyediaan perkhidmatan dron.

“Aerodyne terus meninjau lebih banyak bidaan kontrak yang dijalankan seiring dengan kehendak pasaran global. Kami menyasarkan pendapatan kumpulan bagi projek global akan meningkat dalam tiga tahun akan datang berbanding 30 peratus ketika ini.

“Ini kerana peluang dalam penyediaan perkhidmatan dron adalah besar dan banyak negara memerlukan perkhidmatan ini,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dron Global 2019 di sini, semalam.

Aerodyne yang bermula dengan hanya tiga pekerja pada 2014 kini beroperasi di lebih 25 negara seperti Amerika Syarikat, Australia, India, Chile, Denmark, United Kingdom dan Russia.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, industri dron global dijangka bernilai lebih AS$25 bilion pada 2027 berbanding hanya AS$1 bilion pada tahun ini.

Beliau berkata, Asia Pasifik pasaran yang merekodkan pertumbuhan memberangsangkan dengan penguasaan pasaran sebanyak 25 peratus.

Katanya, pasaran Asia Pasifik mampu memberi peluang besar kepada industri dron dan sebagai syarikat dron ketiga dunia, pihaknya optimis lebih banyak peluang dapat diperoleh.

“Lantaran itu, kami aktif melaksanakan lima pengambilalihan tahun ini. Ia bagi mengukuhkan kedudukan kami.

“Selain itu, syarikat menyasarkan tawaran awam permulaan (IPO) sama ada di Malaysia atau luar negara dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 7:48 AM