LAU. FOTO Amirudin Sahib
hmdigital

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines menawarkan pengalaman perjalanan lebih selesa melalui pilihan Neighbour Free Seat (NFS) yang membolehkan penumpang membeli tempat duduk bersebelahan atau keseluruhan barisan untuk ruang lebih luas.

Ia ditawarkan pada harga tetap dan hanya untuk laluan terpilih.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata, penumpang boleh membeli tempat duduk di bawah NFS dalam tempoh tiga hari atau 72 jam sebelum berlepas bergantung kepada kekosongan tempat duduk berkenaan.

“Tawaran terbaharu ini untuk penumpang kelas ekonomi di mana ia mampu memberi keselesaan khususnya buat penumpang yang terdiri daripada keluarga kecil.

“Mendapat lebih ruang dalam pesawat adalah satu perkara yang mampu menyuntik keseronokan sepanjang perjalanan.

“Penumpang yang merancang membeli keseluruhan barisan tempat duduk juga boleh berbuat demikian untuk merasai pengalaman tidur yang lebih selesa,” katanya.

Menurutnya, tawaran berkenaan adalah sebahagian usaha syarikat penerbangan itu memberikan keselesaan kepada penumpang sebagaimana motto yang dipegang iaitu Malaysian Hospitality.

Dalam kenyataan berasingan, Malaysia Airlines turut menawarkan potongan harga besar-besaran untuk tempahan penerbangan dan penginapan hotel melalui MHholidays Big Sale bermula sekarang hingga 28 Oktober ini bagi tempoh perjalanan dari 22 Oktober 2019 hingga 30 April 2020.

Pelanggan yang membuat tempahan untuk penginapan selama empat malam atau lebih berpeluang menikmati penjimatan sehingga 50 peratus dan mendapatkan penginapan percuma untuk satu malam di satu daripada 12 hotel di 10 destinasi berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:30 AM